Khamis, 15 Ogos 2019 | 2:37pm

Kerugian RM20.6 juta akibat jenayah siber di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Lebih 700 individu terperangkap dengan sindiket jenayah siber di Pulau Pinang dengan jumlah kerugian RM20.6 juta, sejak Januari hingga Julai lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk T Narenasagaran, berkata hampir setiap hari polis menerima laporan berhubung sindiket penipuan siber yang menggunakan pelbagai modus operandi untuk memperdaya mangsa.

Beliau berkata, situasi jenayah berteknologi tinggi itu amat membimbangkan apabila statistik menunjukkan peningkatan begitu ketara berbanding dua tahun sebelum ini.

“Pada 2017 sebanyak 965 kes dengan kerugian RM19.3 juta dilaporkan dan tahun lalu pula meningkat apabila merekodkan 1,031 kes membabitkan nilai kerugian sekitar RM29.7 juta.

“Bagi Januari hingga Julai tahun ini pula sudah merekodkan sejumlah 731 kes dengan kerugian RM20.6 juta, yang mana angka ini dilihat amat membimbangkan apabila masih ada lagi individu yang percaya walaupun berkali-kali amaran serta nasihat diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Jenayah Siber dan Penganjuran Seminar Keselamatan Antarabangsa Kelima di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Narenasagaran berkata, secara perbandingan antara 2017 dan 2018, jumlah kerugian meningkat sebanyak 53.5 peratus iaitu RM10.3 juta, manakala jumlah kes pula bertambah 66 kes atau 6.6 peratus.

“Trend jenayah siber paling popular adalah membabitkan mangsa yang terperangkap dengan Macau Scam, penipuan cinta siber (Love Scam), pinjaman wang tidak wujud, penipuan e-kewangan dan belian dalam talian,” katanya.

Katanya, orang ramai diingatkan bahawa panggilan telefon atau pesanan mesej yang mengarahkan pemindahan wang ke akaun lain adalah 99.9 peratus palsu.

“Kebiasaannya peminjam daripada mana-mana agensi kewangan hanya menerima mesej untuk mereka membayar balik pinjaman sahaja, bukannya diberi nombor akaun lain dan perlu membayarnya melalui atas talian,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) negeri, Datuk Seri Syed Jaafar Syed Ali mempelawa pelbagai pihak menyertai seminar yang akan diadakan pada 24 dan 25 September ini mengenai cabaran serta kesan jenayah siber.

Katanya, seminar itu membariskan sembilan ahli panel terdiri daripada pakar jenayah siber antaranya Presiden Persatuan Fraud Bertauliah Malaysia (ACFE), Datuk Seri Akhbar Satar dan Pengerusi Eksekutif Internet Fraud Watchdog Ltd (IFW), Ken Gamble.

“Pendaftaran serta maklumat lanjut mengenainya boleh didapati dengan melayari laman web www.mcpfpg.org/iss2019,” katanya.

KETUA Polis Pulau Pinang Datuk T Narenasagaran (tengah) bersama Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti SAC Datuk Mohamad Anil Shah (kiri) dan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) Pulau Pinang Datuk Seri Syed Jaafar Syed Ali (kanan) menunjukkan risalah Persidangan Antarabangsa Keselamatan Ke-5 yang akan diadakan pada 24 dan 25 September depan selepas sidang media mengenai kes jenayah siber di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri. - Foto BERNAMA
KETUA Polis Pulau Pinang Datuk T Narenasagaran (tengah) bersama Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti SAC Datuk Mohamad Anil Shah (kiri) dan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) Pulau Pinang Datuk Seri Syed Jaafar Syed Ali (kanan) menunjukkan risalah Persidangan Antarabangsa Keselamatan Ke-5 yang akan diadakan pada 24 dan 25 September depan selepas sidang media mengenai kes jenayah siber di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri. - Foto BERNAMA
Berita Harian X