Khamis, 15 Ogos 2019 | 12:37pm
Nora Anne Quoirin.
Nora Anne Quoirin.

Bantu cari Nora Anne sukar dilupakan

SEREMBAN: Membantu pihak berkuasa dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, memberi satu pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang hayat buat penduduk setempat.

Ini kerana, bantuan diberikan mereka kali ini berbeza dengan usaha yang dilakukan sebelum ini apabila mangsa dicari ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.

Mereka mengakui cabaran dihadapi juga lebih sukar kerana kejadian pertama membabitkan kehilangan di sebuah resort.

Mohd Raffiq Ismail, 31, dari Kampung Pantai berkata, dia bersama beberapa rakan dari kampung sama menyertai SAR sejak 6 Ogos lalu, selepas mendapat maklumat kehilangan remaja berusia 15 tahun itu.

Katanya, membantu mengesan orang hilang dan sesat di kawasan Gunung Berembun bukan perkara baharu baginya kerana pernah beberapa kali menyertai operasi seperti itu.

“Namun, aktiviti sedemikian sering berakhir dengan penemuan mangsa yang masih hidup dan dapat diselamatkan.

“Berbeza kali ini, apabila mangsa yang hilang ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan membabitkan pelancong asing,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Pengusaha bengkel kereta itu yang juga anak jati kampung berkenaan berkata, pengalamannya membantu mengesan individu yang hilang di kawasan itu bukan mudah kerana selain hutan tebal, keadaan muka bumi curam serta merbahaya.

Bagaimanapun katanya, melalui pengalaman, akhirnya mereka berjaya menemui mangsa dan seterusnya membawa keluar dari kawasan berkenaan.

Beliau yang melahirkan rasa sedih selepas pasukan SAR menemui mayat Nora Anne, akui pencarian remaja itu dianggap paling lama berbanding sebelum ini hanya dua hari.

“Membantu pencarian Nora Anne banyak cabarannya. Kami hanya membantu secara sukarela kerana rasa tanggungjawab sesama insan.

“Apa pun saya bersyukur kerana akhirnya mangsa ditemui walaupun dalam keadaan dan suasana yang menyedihkan,” katanya yang bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Nora Anne.

Penduduk Kampung Kolam Air, Pantai yang terletak di kaki Gunung Berembun itu, Bahari Shaharudin, 52, juga mengakui usahanya membantu pihak berkuasa dalam operasi itu sukar dilupakannya.

Katanya, walaupun tugas itu secara sukarela namun dilakukannya dengan ikhlas atas rasa simpati dengan nasib keluarga mangsa.

“Saya mula membantu pihak berkuasa sejak 5 Ogos lalu dan pengalaman ini tidak mungkin dapat dilupakan kerana cabarannya amat hebat.

“Namun, saya rasa gembira kerana akhirnya mangsa dapat ditemui walaupun dalam keadaan yang tidak dijangka.

“Saya berharap keluarga Nora Anne dapat bersabar dan tenang menerima takdir itu,” katanya yang turut sedih dan melahirkan rasa simpati terhadap keluarga Nora Anne.

Berita Harian X