Selasa, 13 Ogos 2019 | 8:26pm
SEBUAH helikopter dari operasi mencari dan menyelamat (SAR) membawa keluar mayat yang ditemui di lokasi pencarian remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 untuk dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) menggunakan van Angkatan Pertahanan Awam (APM). NSTP/Iqmal Haqim Rosman
MAYAT yang ditemui di lokasi pencarian remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) menggunakan van Angkatan Pertahanan Awam (APM). NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Polis yakin mayat ditemui ialah Nora Anne Quoirin

SEREMBAN: Polis yakin mayat perempuan yang ditemui pada tengah hari tadi adalah remaja warga Ireland berusia 15 tahun, Nora Anne Quoirin, walaupun identitinya belum disahkan oleh ahli keluarga.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata mayat berkenaan ditemui kira-kira jam 1.57 tengah hari sekitar 2.5 kilometer dari resort penginapan keluarga remaja berkenaan.

Katanya, mayat dalam keadaan tidak berpakaian itu ditemui berhampiran kawasan anak sungai, dalam lingkungan radius pencarian Nora Anne.

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada kes itu mempunyai unsur jenayah sehingga proses bedah siasat selesai yang dijangka dilakukan esok di Hospital Tunku Jaafar (HTJ), Seremban.

NAIB Presiden Kewangan dan Operasi Subsidiari Avisena, Ahmad Tazilan Mokhtar.

“Kita mempunyai sebab yang kukuh untuk percaya mayat itu adalah dia (Nora Anne). Buat masa ini kita tidak dapat pastikan tarikh kematian dan kena tunggu hasil bedah siasat untuk maklumat lanjut.

“Mayat itu tidak berpakaian. Kita jumpa berhampiran anak sungai di kawasan berlurah dianggarkan sejauh 2.5 kilometer (km) dari resort penginapan (Nora Anne dan keluarga).

“Kawasan itu juga termasuk dalam lingkungan radius operasi SAR, namun sebelum ini anggota (SAR) tidak menemui apa-apa di situ,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, mayat itu ditemui oleh orang awam yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

“Mayat sudah dihantar ke HTJ menggunakan helikopter. Keluarga Nora Anne ke hospital itu untuk proses pengecaman,” katanya.

Sebelum ini Nora Anne yang mengalami masalah lembam dilaporkan hilang dari bilik penginapannya di resort itu di Pantai, di sini sejak 4 Ogos lalu.

Berita Harian X