Selasa, 13 Ogos 2019 | 5:27pm
Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Najib masih perlu bayar RM1.69 bilion kepada LHDN

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak masih perlu membayar RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) walaupun sudah memfailkan rayuan penilaian semula bagi tuntutan itu.

Berdasarkan salinan afidavit sokongan yang ditandatangani Penolong Pengarah Kawalan Unit LHDN, Hisyamuddin Mohd Hassan, Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1973, memperuntukkan bahawa seseorang yang merayu terhadap penilaian itu masih perlu membayar taksiran yang dibangkitkan.

Menurut afidavit sokongan itu, Hisyamuddin berkata, cukai yang ditaksirkan adalah genap masanya dan harus dibayar apabila Notis Taksiran disampaikan.

“Subseksyen 106(1) Akta Cukai Pendapatan 1973, menetapkan sebarang cukai yang genap masanya dan kena dibayar boleh didapatkan kembali melalui prosiding sivil.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa Subseksyen 106(3) akta sama, memperuntukkan dalam mendapatkan kembali cukai yang terhutang melalui prosiding sivil, mahkamah tidak boleh melayan sebarang rayuan bahawa jumlah cukai yang hendak didapatkan kembali adalah berlebihan, ditaksirkan dengan tidak betul, sedang dirayu atau dinaikkan dengan tidak betul,” katanya.

Hisyamuddin berkata, beliau mempercayai bahawa defendan tidak mempunyai pembelaan bermerit di dalam tuntutan itu dan plaintif (LHDN) berhak mendapat relif yang dituntut.

Beliau turut memaklumkan bahawa Notis Penilaian (Notis-notis Taksiran) juga sudah disampaikan kepada Najib pada 25 Mac lalu.

Berdasarkan maklumat dalam talian di kehakiman.gov.my, pengurusan kes bagi tuntutan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Bache.

Sebelum ini pada 8 Ogos lalu, Najib memfailkan permohonan untuk meneruskan prosiding saman sementara menunggu rayuan penilaian semula cukainya dengan mendakwa beliau mempunyai peluang yang tinggi untuk memenangi rayuan penilaian semula cukai itu.

Pada 25 Jun lalu, kerajaan memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

Kerajaan selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi LHDN pada 25 Jun lalu dengan menamakan Najib selaku defendan tunggal.

Dalam saman itu, kerajaan menuntut Najib membayar RM1,692,872,924.83, faedah atas jumlah wang berkenaan pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga kes selesai, kos dan apa-apa relif yang sesuai oleh mahkamah.

Dalam penyataan tuntutan itu, kerajaan berkata bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017, defendan telah ditaksirkan dengan Taksiran Tambahan masing-masing berjumlah RM116,173,374.12; RM320,929,932.31; RM891,573,465.46; RM119,144,655.51; RM16,879,500.03; RM643,445.21 dan RM346,471.41 melalui Notis-Notis Taksiran (Tambahan) masing-masing bertarikh 20 Mac 2019.

Sehingga kini Najib masih gagal membayar kepada plaintif amaun cukai pendapatan defendan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011 (Tambahan) sehingga 2017 (Tambahan) yang kesemuanya berjumlah RM1,692,872,924.83.

2000 dibaca
Berita Harian X