Selasa, 13 Ogos 2019 | 11:50am
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Mahkamah Persekutuan tolak tangguh bicara 1MDB

PUTRAJAYA: Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak akan bermula pada 19 Ogos seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Ia berikutan keputusan lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan itu selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan itu tidak terkhilaf dalam pelaksanaan budi bicaranya.

Sehubungan itu, perbicaraan kes 1MDB yang juga dikenali sebagai ‘perbicaraan Tanore’ akan bermula pada 19 Ogos hingga 29 Ogos ini dan kemudian bersambung sepanjang September serta Oktober hingga 14 November ini.

Turut bersidang Hakim Tan Sri Azahar Mohamed; Datuk Seri David Wong Dak Wah; Datuk Rohana Yusof dan Tan Sri Idrus Harun.

Sebelum ini, Najib turut gagal dalam cubaan kali ketiganya untuk membatalkan kelayakan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Persekutuan.

Pada 1 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah turut menolak permohonan Najib dengan alasan tiada bukti menunjukkan Sri Ram akan berlaku berat sebelah dalam menjalankan tugasnya selaku Timbalan Pendakwa Raya Kanan bagi kes berkenaan.

Hakim itu berkata Najib juga tidak berhak menuntut surat pelantikan Sri Ram serta menolak permohonan Najib untuk menggantung sementara perbicaraan kes itu yang dijadualkan dari 15 April hingga 3 Mei, sementara menunggu rayuan berhubung pembatalan kelayakan Sri Ram.

Pada 20 September 2018, Najib didakwa dengan empat pertuduhan menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Bhd, No 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014.

619 dibaca
Berita Harian X