Isnin, 12 Ogos 2019 | 3:06pm
NAIB Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye ketika sidang media mengenai jenayah siber di bilik mesyuarat MCPF, Menara UOA. NSTP/Eizairi Shamsudin
NAIB Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye ketika sidang media mengenai jenayah siber di bilik mesyuarat MCPF, Menara UOA. NSTP/Eizairi Shamsudin

'Nama saya turut diguna sindiket tipu' - Lam Thye

PUTRAJAYA: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bimbang dengan taktik licik sindiket ‘Macau scam’ yang menggunakan pelbagai kaedah baharu dan peranti terkini bagi memperdaya mangsa.

Naib Pengerusi Kanannya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kebolehan sindiket terbabit berevolusi menggunakan pelbagai taktik baharu serta peranti terkini untuk menjadikan penipuan mereka sangat licik dan meyakinkan adalah sesuatu yang sangat membimbangkan.

Beliau yang mengakui namanya turut digunakan sindiket bagi mendapatkan wang daripada pegawai tertinggi organisasi dipengerusikannya, berkata penipuan oleh sindiket terbabit boleh dikatakan berlaku setiap hari.

“Kebanyakan mangsa adalah mereka yang berpencen kerana mempunyai wang simpanan di dalam bank, namun pegawai kerajaan, suri rumah, golongan pelajar dan berpendidikan tinggi juga kerap ditipu.

“Saya sendiri sudah membuat laporan polis apabila nama saya digunakan oleh sindiket untuk mendapatkan wang daripada pegawai tertinggi organisasi yang saya pengerusikan. Sindiket itu menghubungi mangsa menggunakan e-mel yang seolah-olah datang dari saya,” katanya.

Beliau mengulas laporan media baru-baru ini mengenai kerugian akibat jenayah siber atau penipuan dalam talian di negara ini mencecah RM309.67 juta bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil dilaporkan berkata, perkembangan itu menunjukkan penipuan dalam talian di negara ini seperti belum reda.

Lam Thye berkata, menyedari betapa serius masalah itu, MCPF menerusi Jawatankuasa Keselamatan Siber dipengerusikan Prof Mohamad Fauzan Noordin akan berusaha mencari jalan menangani isu berkenaan dengan lebih berkesan.

“Jawatankuasa ini akan merancang pelbagai program dan aktiviti yang boleh meningkatkan kesedaran mengenai ‘Macau Scam’ dan pelbagai penipuan menggunakan pelbagai cara terbaru.

“Orang ramai juga dinasihatkan lebih berhati-hati dan sentiasa berkongsi maklumat dengan ahli keluarga dan rakan jika dihubungi sindiket terbabit selain membuat laporan polis,” katanya.

Berita Harian X