Sabtu, 10 Ogos 2019 | 8:10pm
Gambar hiasan.

Bakar kereta isteri gara-gara tak buka kunci stereng

CHUKAI: Berang isterinya tidak mengendahkan permintaan supaya membuka kunci stereng kereta untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat, seorang lelaki bertindak luar batasan apabila membakar kereta milik wanita itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam, mangsa berusia 36 tahun berada di rumah ibunya di Kemasik, di sini, sebelum suaminya datang dan membuat bising meminta wanita itu membuka kunci stereng kereta Proton Wira berwarna hitam miliknya.

Sumber berkata, mangsa yang juga peniaga enggan membuka kunci stereng kereta itu berikutan suspek sering melarikan kereta berkenaan sehingga menyukarkan mangsa yang menggunakan kenderaan itu untuk membawa barang niaganya.

Katanya, selepas permintaannya tidak diendahkan, suspek yang tidak bekerja kemudian berlalu menaiki motosikal sebelum pulang semula dengan membawa botol lut sinar berisi cecair dipercayai petrol.

“Suspek kemudian mengalihkan kereta Proton Wira yang diparkir isterinya di hadapan tangga rumah ibu mentuanya ke kawasan lapang di hadapan rumah tanpa membuka kunci stereng berkenaan.

“Ketika kejadian, anak perempuan mereka berusia 11 tahun melihat perbuatan bapanya mengalihkan kenderaan sebelum memaklumkan kepada ibu dan neneknya berusia 60 tahun.

“Mangsa dan ibunya yang bimbang keselamatan mereka tidak berani keluar rumah dan hanya meninjau daripada dalam sebelum ternampak suspek menyimbah kereta dengan cecair dipercayai petrol lalu menyalakan api di dalam kenderaan itu.

“Mangsa yang tidak sempat berbuat apa-apa kemudian hanya mampu menghubungi polis memaklumkan kejadian dan api marak dengan cepat membakar kenderaan itu sehingga musnah 100 peratus,” katanya.

Sumber berkata, sejurus kejadian, suspek yang bagaikan hilang akal terus berlalu ke masjid menaiki sebuah kereta Perodua Kancil.

Susulan laporan dibuat mangsa, suspek kemudian ditahan selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Kemasik kira-kira jam 2.30 petang.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah, ketika dihubungi hari ini, mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Berita Harian X