Sabtu, 10 Ogos 2019 | 7:46pm
KEADAAN rumah Aishah yang musnah terbakar di Kampung Kualoh, Sungai Kepar, Semanggol. NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
KEADAAN rumah Aishah yang musnah terbakar di Kampung Kualoh, Sungai Kepar, Semanggol. NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Api sampah merebak bakar rumah

BAGAN SERAI: Seorang ibu tunggal bersama lima anaknya tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiami mereka di Kampung Kualoh, Sungai Kepar, Semanggol, musnah dalam kebakaran, malam semalam.

Difahamkan, kejadian jam 8 malam itu berlaku selepas Aishah Abu Bakar, 39, bersama lima anaknya dipercayai membakar sampah pada sebelah petang sebelum api berkenaan dipercayai merebak membakar rumahnya.

Aishah berkata, kebakaran berlaku ketika dia bersama lima anaknya berusia lima hingga 15 tahun sedang berehat di dalam rumah selepas membersihkan kawasan rumah dan membakar sampah sebelum itu.

Katanya, dia yang baru selesai menunaikan solat Maghrib dikejutkan dengan api yang mula membakar rumahnya sebelum mengarahkan kesemua anaknya keluar menyelamatkan diri.

“Saya tidak sangka api sampah yang dibakar membakar rumah dan kemungkinan ia berlaku disebabkan angin kuat menyebabkan ia merebak sehingga ke rumah.

“Saya bersama anak-anak membakar sampah di lokasi berkenaan berdekatan rumah dan memberitahu mereka api itu tidak akan merebak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Aishah yang baru kehilangan suami tercinta beberapa bulan lalu berkata, dia bersama anak-anaknya kini tinggal sehelai sepinggang dan mengharapkan bantuan untuk membina semula rumahnya itu.

Katanya, dia bersama anak-anaknya hanya sempat menyelamatkan dokumen-dokumen penting manakala kereta Proton Saga serta jentera pembajak sawah milik keluarganya musnah dalam kebakaran itu.

AHLI Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran rumah, Aishah (kiri) di Kampung Kualoh, Sungai Kepar, Semanggol. NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
AHLI Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran rumah, Aishah (kiri) di Kampung Kualoh, Sungai Kepar, Semanggol. NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Nasib malang menimpa ibu tunggal bersama anak-anaknya itu beberapa hari sebelum Hari Raya Aidiladha mendapat perhatian Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang tampil menghulurkan bantuan awal.

Noor Azmi berkata, dia akan membantu dengan membawa masalah dihadapi keluarga itu kepada Baitulmal untuk menyegerakan proses pembinaan rumah berkenaan.

Berita Harian X