Sabtu, 10 Ogos 2019 | 3:26pm
TOMBOL pintu yang diikat dengan rumput kering bagi mencetuskan kebakaran ditemui di kawasan tanah gambut di Kompleks Hamidah, Miri. NSTP/Ihsan BOMBA
TOMBOL pintu yang diikat dengan rumput kering bagi mencetuskan kebakaran ditemui di kawasan tanah gambut di Kompleks Hamidah, Miri. NSTP/Ihsan BOMBA

Kebakaran tanah gambut di Miri akibat khianat

KUCHING : Kebakaran tanah gambut yang berlaku di kawasan Kompleks Hamidah, Miri dipercayai berlaku akibat perbuatan khianat.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata ia berikutan penemuan tombol pintu yang diikat dengan rumput kering yang dipercayai dilontarkan ke dalam belukar bagi mencetuskan kebakaran.

Beliau berkata, laporan polis sudah dibuat pihak syarikat pemaju yang membangunkan kawasan itu, Naim Development berhubung penemuan berkenaan.

“Bomba percaya kebakaran di kawasan itu berlaku akibat perbuatan khianat kerana kebakaran bermula dari kawasan tengah, bukannya bermula dari kawasan tepi jalan raya atau mana-mana akses.

“Penemuan tombol pintu yang diikat dengan rumput kering bagi tujuan pembakaran mengukuhkan lagi bukti perbuatan khianat itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ling Hii berkata, operasi pemadaman kebakaran di Kompleks Hamidah yang bermula pada 1 Ogos lalu masih diteruskan sehingga hari ini membabitkan 32 anggota bomba dan bantuan 11 orang pekerja syarikat Naim Development.

“Keluasan kawasan yang masih aktif berasap di kawasan berdekatan dengan Kompleks Hamidah ialah kira-kira 20 hektar dan keluasan yang berjaya dipadamkan ialah enam hektar dan baki 15 hektar akan diteruskan menggunakan jengkaut,” katanya.

Katanya, sehingga jam 2 petang ini, sebanyak 19 laporan kebakaran hutan dan belukar diterima pihaknya.

“Sejak 1 Ogos hingga hari ini, sebanyak 202 laporan kebakaran hutan dan belukar diterima di seluruh negeri,” katanya.

Berita Harian X