Jumaat, 9 Ogos 2019 | 8:02pm

Bayi perempuan maut didera, tiga ditahan

GOMBAK: Polis menahan tiga suspek termasuk pasangan suami isteri pengasuh di sini berhubung kematian seorang bayi berusia 12 bulan yang dalam jagaan, dipercayai didera.

Polis menerima hasil bedah siasat bayi perempuan terbabit yang menunjukkan mayat mangsa mempunyai 39 kesan kecederaan dalam kejadian pada Ahad lalu.

Ketiga-tiga suspek terbabit yang berusia antara 28 hingga 34 tahun, iaitu pasangan suami isteri pengasuh itu serta ibu bayi terbabit, ditahan pada Selasa lalu selepas polis menerima hasil bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati punca kematian mangsa disebabkan cedera parah di bahagian kepala disebabkan objek tumpul.

Katanya, polis menerima maklumat berhubung kematian bayi terbabit pada jam 8.48 malam selepas doktor sebuah klinik swasta menghubungi talian kecemasan.

“Siasatan awal mendapati, pengasuh terbabit membawa mangsa ke klinik swasta mendakwa menyedari bayi itu terjatuh dari sofa dalam keadaan tertiarap ketika dia berada di dapur.

“Ketika tiba di klinik, mangsa tiada degupan jantung, doktor berusaha menyelamatkannya namun selepas 15 minit tiada tanda pemulihan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati kenyataan suspek bahawa mangsa terjatuh sendiri adalah tidak konsisten dengan kecederaan di kepala mangsa.

Beliau berkata, siasatan mendapati ibu mangsa menyerahkan anaknya itu kepada pengasuh bersama suaminya untuk dijaga.

“Semakan rekod lelaki itu memiliki enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Ketika disiasat, pengasuh dan suaminya mengaku terbabit dalam kejadian itu. Ketiga-tiga mereka direman tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X