X
Khamis, 8 Ogos 2019 | 5:20pm
Duta Perancis ke Malaysia Frederic Laplanche (tengah) bercakap dengan Ketua Polis Daerah Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop (kiri) dan Polis Daerah Ketua Nilai Mohd Nor Marzukee Besar di balai polis Pantai Pantai sementara operasi mencari dan menyelamat Nora Quoirin di Seremban,. - Foto EPA
Duta Perancis ke Malaysia Frederic Laplanche (tengah) bercakap dengan Ketua Polis Daerah Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop (kiri) dan Polis Daerah Ketua Nilai Mohd Nor Marzukee Besar di balai polis Pantai Pantai sementara operasi mencari dan menyelamat Nora Quoirin di Seremban,. - Foto EPA

'Nora...darling, Nora...I love you, Nora...mum is here'...

SEREMBAN: Rakaman suara ibu ‘Nora...darling, Nora...I love you, Nora...mum is here’ mula dimainkan tadi, dalam usaha mencari Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di sebuah resort di Pantai dekat sini, sejak Ahad lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata rakaman terhadap ibu mangsa, Meabh Jaseprine Qouirin itu dibuat pagi tadi atas persetujuan keluarga.

“Dalam setiap operasi kita akan mainkan rakaman dari telefon bimbit ini menggunakan pembesar suara seolah-olah ibunya yang memanggil.

“Cara ini pernah digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tempat lain dan berkesan,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai di sini, hari ini.

Mohamad berkata, setakat lima hari operasi yang dijalankan, pihaknya masih belum menemui sebarang petunjuk remaja itu namun masih mengklasifikasikan kes sebagai orang hilang.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak akan berputus asa dan terus mencari di kawasan enam kilometer membabitkan enam zon dari lokasi remaja itu hilang selain menggunakan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Inisiatif lain yang dilakukan setakat ini adalah mengedarkan gambar remaja itu kepada orang ramai di setiap sekatan jalan raya selain dimasukkan dalam sistem Nur Alert dan portal orang hilang,” katanya.

Ditanya adakah keluarga mangsa turut serta dalam SAR yang dijalankan Mohamad berkata, pihaknya tidak menggalakkan kerana kurang sesuai dengan keadaan mereka.

Berkenaan kerjasama dengan Interpol beliau berkata, pihak terbabit turut memberikan kerjasama kepada PDRM sejak operasi bermula.

Bagaimanapun mengenai bantuan dari negara luar Mohamad berkata, pihaknya ada terima beberapa pelawaan untuk membantu tetapi setakat ini merasakan tiada keperluan lagi.

Terdahulu, Mohamad turut menerima kunjungan daripada Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche di Balai Polis Pantai bagi mengikuti perkembangan semasa pencarian Nora Anne.

Berita Harian X