Rabu, 7 Ogos 2019 | 9:54pm
Isteri nelayan jatuh ke laut ketika memancing, Ruhayati Awang Lah, 56, mendengar penjelasan mengenai operasi mencari suaminya daripada Pegawai Seksyen Operasi APMM Kuala Terengganu, Pegawai Waran II Abdul Idrus Che Senik ketika mengunjungi rumahnya di Kampung Gong Pak Jin, Mengabang Telipot. - Foto Zaid Salim
Isteri nelayan jatuh ke laut ketika memancing, Ruhayati Awang Lah, 56, mendengar penjelasan mengenai operasi mencari suaminya daripada Pegawai Seksyen Operasi APMM Kuala Terengganu, Pegawai Waran II Abdul Idrus Che Senik ketika mengunjungi rumahnya di Kampung Gong Pak Jin, Mengabang Telipot. - Foto Zaid Salim

Isteri reda jika suami meninggal

KUALA NERUS: “Kalau ditakdirkan sudah ajalnya di laut, saya reda dan terima dengan ketentuan Allah tetapi besar harapan saya suami ditemui, biarpun dalam keadaan tidak bernyawa.”

Demikian kata Ruhayati Awang Lah, 56, isteri kepada Makhtar Ibrahim, 59, nelayan yang hilang selepas terjatuh ke laut ketika menangkap ikan berhampiran Pelantar Dulang, Sabtu lalu.

Ruhayati bersama dua anaknya, Muhammad Redzuan, 21, dan Nur Atiqah, 24, juga akur sekiranya pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membuat keputusan untuk menangguhkan pencarian suaminya berikutan cuaca buruk di sekitar lokasi suaminya hilang.

“Saya faham keadaan cuaca di laut buruk, ombak besar dan beralun, jadi akur kalau usaha mencari suami terpaksa ditangguhkan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima kunjungan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di rumahnya di Kampung Gong Pak Jin, Mengabang Telipot, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Balai Polis Gong Badak, Inspektor Adzlan Mohd Zulkifli dan pegawai serta anggota Maritim Malaysia.

Sementara itu, Pegawai Seksyen Operasi, Maritim Malaysia Terengganu, Pegawai Waran II (M) Abdul Idrus Cik Senik, berkata operasi SAR yang memasuki hari keempat hari ini masih diteruskan.

Katanya, operasi SAR terbabit bagaimanapun menghadapi sedikit kesukaran kerana cuaca buruk dan ombak besar menjejaskan kelancaran operasi.

“Walau apapun pasukan penyelamat sentiasa berada di laut dan usaha mencari mangsa tetap diteruskan.

“Namun sehingga kini kami tidak menemui sebarang petunjuk dan usaha mendapat kerjasama nelayan juga gagal berikutan keadaan laut bergelora menyebabkan mereka tidak boleh turun ke laut,” katanya.

Sabtu lalu, Makhtar dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut, dekat Pelantar Minyak Dulang, kira-kira 67.7 batu nautika dari muara Kuala Terengganu dan susulan itu, SAR dilakukan bagi mencarinya.

Berita Harian X