Rabu, 7 Ogos 2019 | 6:35pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad merasmikan Seminar Trend Terkini Jenayah Komersil di Menara KPJ. - Foto Mustaffa Kamal
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad merasmikan Seminar Trend Terkini Jenayah Komersil di Menara KPJ. - Foto Mustaffa Kamal

516 'keldai akaun' ditahan

KUALA LUMPUR: Seramai 516 individu disyaki ‘keldai akaun’ yang digunakan dalam transaksi jenayah siber ditahan dalam operasi serentak dijalankan di seluruh negara dari 17 hingga 30 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, berkata sebahagian besar individu ditahan itu adalah penganggur dan suri rumah.

“Ramai dalam kalangan mereka mencari kaedah mudah untuk mendapatkan wang. Hasil siasatan mendapati `keldai akaun’ ini menjual akaun mereka kepada anggota sindiket untuk menjalankan kegiatan penipuan pada harga serendah RM300,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Seminar Trend Terkini Jenayah Komersil, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Zakaria berkata, institusikewangan di negara ini dinasihatkan agar mengenakan syarat lebih ketat, termasuk membuat pemeriksaan latar belakang secara lebih menyeluruh terhadap individu yang mahu membuka akaun perbankan.

“Tindakan itu penting bagi memastikan pemilik akaun bertanggungjawab terhadap akaun yang dibuka mereka bagi mengelakkan ia disalah guna oleh pihak lain terutama untuk kegiatan jenayah.

“Individu yang didapati menjual akaun mereka kepada pihak lain boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan atas kesalahan membantu menyembunyikan harta curi,” katanya.

Berita Harian X