Rabu, 7 Ogos 2019 | 3:51pm
Tekong bersama 17 awak-awak warga Vietnam dikenakan denda lebih RM1 juta di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas kesalahan menangkap ikan diperairan negara tanpa permit sah. - Foto Norizuan Shamsuddin
Tekong bersama 17 awak-awak warga Vietnam dikenakan denda lebih RM1 juta di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas kesalahan menangkap ikan diperairan negara tanpa permit sah. - Foto Norizuan Shamsuddin

18 nelayan Vietnam didenda lebih RM1 juta

KUALA TERENGGANU: Seorang tekong bersama 17 awak-awak warga Vietnam didenda lebih RM1 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan menangkap ikan di perairan negara tanpa permit sah.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman berkenaan selepas semua tertuduh berusia antara 19 hingga 53 tahun, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibaca dan diterjemahkan oleh jurubahasa Vietnam.

Tertuduh, Le Minh Chau, 41, sebagai tekong dikenakan denda RM400,000 atau penjara setahun, manakala 17 lagi tertuduh yang juga awak-awak masing-masing didenda RM40,000 atau enam bulan penjara.

Jika mereka gagal membayar denda terbabit, mahkamah memerintahkan tempoh penjara dikira dari tarikh jatuh hukum, hari ini, dan selepas itu dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Mahkamah turut mengarahkan supaya vessel, peralatan komunikasi dan navigasi, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan laut seberat 24 tan dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menangkap ikan di perairan perikanan negara tanpa permit sah di atas bot pendaftaran asing pada jarak 80.4 batu nautika perairan Kuala Terengganu, pada jam 3.36 petang 14 Mac lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohamad Afiq Taqiudin Roslan, manakala semua tertuduh diwakili peguam bela, Suhaimi Ismail.

Berdasarkan fakta kes, APMM menahan bot nelayan asing (Vietnam) yang dikesan menangkap ikan di kawasan terbabit.

Hasil pemeriksaan mendapati 18 lelaki warga Vietnam termasuk seorang tekong yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah, berada di bot berkenaan.

Pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan di dalam bot terbabit.

Susulan itu, pihak APMM menahan semua lelaki berkenaan dan merampas peralatan serta hasil tangkapan untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X