Selasa, 6 Ogos 2019 | 4:02pm
SAKSI, bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (kanan) hadir pada perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/Hafiz Sohaimi.

Kerajaan Switzerland beku dana SRC - Ahmad Husni

KUALA LUMPUR: Dana pelaburan Syarikat SRC International Sdn Bhd yang disimpan di sebuah bank di Switzerland dibekukan oleh kerajaan negara itu atas kesalahan Pengubahan Wang Haram.

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, 67, mendedahkan perkara itu dalam keterangan SRC International yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Ahmad Husni, dalam pernyataan bertulisnya, berkata, beliau kemudian bertemu dengan Najib dan meminta keizinan untuk membawa delegasi daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk membawa dokumen bagi membuktikan wang berkenaan adalah pinjaman daripada KWAP, dan tidak sepatutnya dibekukan di bawah kesalahan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, saksi ke-56 pendakwaan itu, berkata, Najib tidak memberikan persetujuan kepada beliau untuk bertindak sedemikian.

Ahmad Husni, berkata sepanjang penubuhan SRC, beliau tidak dirujuk dan diberikan sebarang dokumen mengenai syarikat itu dan pelaburan yang dilaksanakan.

“Saya kemudian meminta Dr Isa, yang ketika itu Setiausaha Bahagian Pelaburan untuk membuat lawatan ke Jawa, Indonesia, bagi memastikan kewujudan pelaburan berkenaan, bagaimanapun ia tidak dilakukan.

Ahmad Husni, berkata beliau hanya mengetahui mengenai SRC pada pembentangan Mesyuarat Jemaah Menteri oleh Tan Sri Nor Mohamad Yakcop ketika syarikat itu perlu mendapatkan jaminan kerajaan bagi pinjaman sebanyak RM2 bilion daripada KWAP.

“Selepas itu, saya menemui Najib untuk membangkitkan tentang tujuan memberi pinjaman yang besar kepada SRC yang juga anak Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya dimaklumkan oleh Najib bahawa penubuhan SRC adalah bertujuan supaya bidang tenaga elektrik diperkasakan dengan adanya pemilikan oleh syarikat milik kerajaan yang mempunyai pembabitan dalam perlombongan arang batu,” katanya.

Ahmad Husni, berkata beliau kemudian memaklumkan kepada Najib bahawa perlombongan arang batu seharusnya membabitkan sektor swasta dan bukannya oleh syarikat milik kerajaan.

“Najib berkata pembabitan kerajaan dalam perlombongan arang batu akan dapat memperkasakan bidang tenaga elektrik.

“Memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan oleh Tan Sri Nor Mohamad Yakcop diluluskan dan kerajaan bersetuju untuk memberikan jaminan tersebut,” katanya.

Ahmad Husni, berkata pegawai di Kementerian Kewangan kemudian menyediakan surat jaminan kerajaan untuk beliau tandatangan atas kapasiti Menteri Kewangan II.

Katanya, beliau mengetahui daripada pegawai MKD bahawa sejumlah RM4 bilion, iaitu keseluruhan pinjaman daripada KWAP, antaranya digunakan untuk pelaburan arang batu di Jawa, Indonesia; pelaburan sumber asli di Mongolia dan simpanan bank di Switzerland dan Hong Kong.

Berita Harian X