Selasa, 6 Ogos 2019 | 11:30am
Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori di Batu 24 Jalan Bintulu-Miri. - NSTP/Erika George

Bayi 2 bulan maut kemalangan

BINTULU: Seorang bayi lelaki maut dalam kemalangan selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Batu 24 Jalan Bintulu-Miri, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa, Lewis Logan Aking berusia dua bulan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Bintulu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Mohamad Meramit, berkata mangsa menaiki kereta Perodua Myvi bersama tiga lagi ahli keluarganya iaitu bapa berusia 36 tahun, ibu berusia 29 tahun dan pemandu kenderaan yang juga sepupu lelaki ayahnya berusia 31 tahun.

“Kesemua mereka dalam perjalanan dari arah Bintulu menuju ke Miri. Bomba terpaksa mengeluarkan pemandu kereta terbabit yang tersepit di tempat duduknya selama hampir setengah jam menggunakan peralatan khas ‘Hydraulic Rescue Tool’ dan mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 6 petang.

“Ibu bapa bayi berkenaan juga mengalami kecederaan ringan manakala, pemandu lori berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pasukan bomba juga menimbus pasir pada tumpahan minyak akibat kemalangan berkenaan.

“Seramai sembilan anggota dari BBP Bintulu dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki mangsa terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori yang bergerak dari arah Miri.

“Akibat pertembungan itu, kereta dinaiki mangsa sekeluarga terperosok ke bawah penghadang jalan manakala lori terbabit terbabas ke bahu jalan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat manakala, ibu bapanya turut dikejarkan ke hospital sama bagi mendapat rawatan lanjut.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Berita Harian X