Isnin, 5 Ogos 2019 | 3:26pm
Makthar Ibrahim dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut dekat pelantar minyak Dulang, kira-kira 67.7 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, petang kelmarin. - Ihsan Maritim Malaysia
Makthar Ibrahim dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut dekat pelantar minyak Dulang, kira-kira 67.7 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, petang kelmarin. - Ihsan Maritim Malaysia

Terjatuh ketika memancing

KUALA TERENGGANU: Seorang pemancing dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut dekat pelantar minyak Dulang, kira-kira 67.7 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, petang kelmarin.

Makthar Ibrahim, 56, berasal dari Kampung Gong Pak Jin, Mengabang Telipot, Kuala Nerus yang juga seorang awak-awak bot nelayan tempatan, dilaporkan terjatuh kira-kira jam 5.30 petang ketika memancing.

Berikutan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bermula jam 11.25 pagi semalam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata operasi SAR yang diselaras Maritim Malaysia meliputi keluasan seluas 386.5 batu nautika dari lokasi kejadian.

“Gerakan SAR turut membabitkan sebuah aset udara jenis Bombardier, kapal KM Pekan dan kapal KM Gemia dari Maritim Malaysia.

“Turut terbabit dalam operasi SAR ini ialah aset dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Pahang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin melakukan aktiviti di laut perlu menitikberatkan aspek keselamatan.

“Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 supaya tindakan lanjut dapat diambil,” katanya.

Berita Harian X