Isnin, 5 Ogos 2019 | 2:57pm
KENDERAAN jenis Perodua Alza yang dinaiki mangsa terbabas lalu melanggar pokok di Jalan Tampoi, Krubong. - Foto Ihsan Pembaca

Maut kereta terbabas langgar pokok

MELAKA: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas kenderaan dinaiki terbabas lalu melanggar pokok di Jalan Tampoi, Krubong di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu mengakibatkan pemandu kereta, Mohammad Haziq Hairuzaman, 22, maut manakala penumpang, Azrina Ahmad, 39, parah.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya, berkata mangsa yang memandu Perodua Alza dipercayai cuba melarikan diri daripada pemeriksaan Unit Kereta Peronda (MPV) polis.

Katanya, kenderaan terbabit dikatakan berada dalam keadaan mencurigakan di tempat gelap di Taman Bukit Cheng.

“Ketika cuba melarikan diri, katanya, kenderaan dipandu mangsa melanggar MPV polis.

KENDERAAN jenis Perodua Alza yang dinaiki mangsa terbabas lalu melanggar pokok di Jalan Tampoi, Krubong. - Foto Ihsan Pembaca

“Mangsa kemudian memandu menghala ke Tampoi, Krubong sebelum terbabas lalu terlanggar pokok.

“Berikutan kejadian itu, mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu maut manakala wanita yang duduk di belakang cedera parah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasan berkata, penumpang wanita itu dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut manakala mayat mangsa dihantar ke hospital sama bagi proses bedah siasat.

“Anggota polis tidak kecederaan tetapi MPV mengalami kerosakan di sisi kanan hadapan akibat dilanggar.

“Kedua-dua kenderaan ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X