Isnin, 5 Ogos 2019 | 12:34pm

Raja Ular Perlis sedar dari koma

KANGAR: Raja Ular Perlis yang koma selepas dipatuk ular tedung selar ketika sedang memberi makan reptilia itu kelmarin, dilaporkan sudah sedar dan masih dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Isterinya, Nur Syazana Salim, 28, berkata suaminya, Muhammad Hafiz Alias, 28, yang juga kakitangan Taman Ular dan Reptilia Batu Pahat, mula sedar kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.

Katanya, Muhammad Hafiz juga sudah mampu mendengar dan memahami apa yang dikatakan saudara-mara serta rakan yang melawatnya.

“Tiub bantuan pernafasan yang dimasukkan ke dalam mulutnya juga sudah ditanggalkan petang semalam, suami juga mampu bercakap sedikit demi sedikit.

“Sejurus tiubnya ditanggalkan, dia ada mengadu tekaknya kering dan meminta air untuk diminum, namun doktor memintanya untuk berpuasa terlebih dahulu sehingga hari ini,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Nur Syazana berkata, dia bersyukur suaminya sudah sedar daripada koma dan perkembangan kesihatannya juga positif sejak semalam.

“Saya ada bertanya keadaan kakinya yang dipatuk ular itu, dia memberitahu boleh mengangkatnya sedikit demi sedikit dan rasa sakitnya berkurangan.

“Suami belum dibenarkan keluar wad memandangkan masih dalam tempoh pemantauan,” katanya.

Nur Syazana turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantunya dan mereka yang melawat Muhammad Hafiz sejak dimasukkan ke wad kelmarin.

Semalam, BH Online melaporkan Raja Ular Perlis itu cedera selepas diserang tedung selar ketika memberinya makan mengikut jadual di tempat kerjanya petang kelmarin.

Sejurus dipatuk, Muhammad Hafiz sempat memaklumkan perkara berkenaan kepada rakan sekerjanya sebelum dia dibawa ke HTF dan pengsan ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan.

Berita Harian X