Ahad, 4 Ogos 2019 | 4:52pm

Dua sahabat ditahan miliki senjata api

KOTA BHARU: Polis menahan dua lelaki kerana memiliki dua pucuk pistol dan selaras senapang buatan sendiri menerusi dua serbuan berasingan, Khamis lalu.

Dalam operasi jam 2 pagi itu, dua lelaki berusia 24 dan 46 tahun masing-masing ditahan di Kedai Lalat dan Padang Bemban, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata serbuan pertama di hadapan kedai makan di Kedai Lalat jam 2 pagi membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 24 tahun.

“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek, polis menemui sepucuk pistol yang diselit di pinggang seluar dan merampas seberkas kunci.

“Kita kemudian memeriksa kereta Perodua Viva milik suspek sebelum menemui gari, vest mempunyai logo polis dan 32 bebola bearing dipercayai peluru pistol itu,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi tangkapan berkenaan, pihak polis membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Padang Bemban dan menahan lelaki berusia 46 tahun bersama sepucuk pistol serta bebola bearing.

“Pemeriksaan lanjut di sebuah stor berhampiran rumah itu turut menemui selaras senapang buatan sendiri.

“Siasatan awal mendapati, dua pistol itu dibeli di negara jiran dengan harga RM800 setiap satu untuk keselamatan diri.

“Manakala, senapang buatan sendiri itu dibuat sendiri oleh suspek untuk menembak tupai. Vest pula dibeli di bandar ini dengan harga RM85.

“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan kini ditahan reman sehingga Rabu ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Berita Harian X