Ahad, 4 Ogos 2019 | 4:00pm
Mangsa maut selepas pondok miliknya dihempap pokok tumbang di Kampung Luagan, Sipitang. - Ihsan Bomba

Maut dihempap pokok tumbang

SIPITANG: Seorang lelaki berusia 41 tahun maut selepas pondok miliknya di Kampung Luagan, di sini, dihempap pokok tumbang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Hamdi Diman, parah di kepala.

Penyelia Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Hasbi Hajat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.58 petang.

Katanya, sebaik menerima laporan, sepasukan empat anggota bomba dan jentera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan segera.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa masih terperangkap di dalam timbunan runtuhan pondok dan pokok tumbang.

“Anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa namun dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.10 malam tadi.

Berita Harian X