Ahad, 4 Ogos 2019 | 10:32am
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof.

Lelaki buat pinjaman untuk majlis kahwin rugi RM20,650

KUANTAN: Akibat terpedaya dengan promosi kadar faedah pinjaman 0.5 peratus, seorang pemandu ladang di Cameron Highlands kerugian RM20,650 ditipu sindiket menawarkan pinjaman tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata pada 16 Mei lalu, mangsa lelaki berusia 30 tahun menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Mohd Jainuddin’.

“Suspek memberitahu mangsa bahawa dia (suspek) adalah wakil syarikat kewangan berdaftar dan berlesen, selain kononnya di bawah seliaan kerajaan serta mendapat kelulusan dari Bank Negara.

“Mangsa tertarik dengan penerangan suspek mengenai promosi kadar faedah pinjaman rendah dan bersetuju untuk membuat permohonan pinjaman berjumlah RM30,000 bagi kegunaan majlis perkahwinannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, suspek kemudiannya meminta mangsa menghantar dokumen bagi melancarkan urusan permohonan pinjaman.

Katanya, suspek menghubungi mangsa pada 17 Mei lalu dan memaklumkan permohonan pinjaman sudah diluluskan serta menghantar gambar surat kelulusan itu melalui WhatsApp kepada mangsa.

“Suspek meminta mangsa membayar RM500 sebagai bayaran permulaan untuk jumlah pinjaman dibuat mangsa dan setakat ini, mangsa mendakwa sudah melakukan 12 kali pindahan wang ke pelbagai nombor akaun diberikan suspek.

“Anggaran kerugian mangsa ialah RM20,650 dan mangsa yang merasakan dirinya ditipu memaklumkan kepada suspek untuk membatalkan permohonan pinjaman, namun suspek memaklumkan mangsa perlu membayar wang proses bagi tujuan pembatalan itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang tidak berpuas hati dengan penerangan diberikan suspek membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X