Sabtu, 3 Ogos 2019 | 4:49pm
Tiga mangsa bot yang hilang ke pulau Tenggol, Dungun diselamatkan oleh nelayan Thailand dan dibawa ke pelantar DUNGUN. APMM dalam usaha mengambil mangsa. - Ihsan APMM
Tiga mangsa bot yang hilang ke pulau Tenggol, Dungun diselamatkan oleh nelayan Thailand dan dibawa ke pelantar DUNGUN. APMM dalam usaha mengambil mangsa. - Ihsan APMM

Tiga pekerja resort dijangka tiba 11 malam ini - Maritim Malaysia

DUNGUN: Tiga pekerja resort yang ditemui selamat oleh nelayan laut dalam Thailand dijangka tiba di Kuala Dungun di sini, kira-kira 11 malam ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata sebaik menerima panggilan daripada pelantar Bunga Orkid Petronas, pihaknya telah menggerakkan KM Pekan ke lokasi itu untuk urusan membawa balik ketiga-tiga mangsa.

“Ketika diselamatkan, Fauzi Mohamad, 40, Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, dan Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, dalam keadaan keletihan.

“Tetapi keadaan mereka pulih sedikit selepas diberi rawatan dan makanan serta minuman oleh krew Jeti 4 Pelantar Bunga Orkid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rabu lepas tiga pekerja resort di Pulau Tenggol itu dilapor hilang ketika dalam perjalanan dari Jeti Aking, Seberang Pintasan, di sini ke Pulau Tenggol untuk menghantar bekalan makanan dan keperluan. Kesemua mereka ditemui selamat oleh nelayan Thailand awal hari ini.

Sementara itu, bapa kepada seorang daripada pekerja resort itu yang ditemui di Jeti Aking, Seberang Pintasan di sini hari ini, berkata beliau akan membawa anaknya pulang ke Johor esok dan mengadakan kenduri doa selamat dan kesyukuran.

Mohd Awalluddin Adam, 51, yang berasal dari Johor berkata sejak kehilangan anaknya Muhammad Firdaus, Rabu lepas beliau tidak dapat tidur lena dan sering menangis kerana terlalu risau.

Oleh itu, beliau mengambil keputusan untuk datang ke Dungun pagi semalam dan menginap di chalet yang disediakan majikan anaknya, berhampiran pusat operasi mencari dan menyelamat.

“Sejak malam tadi saya tidak dapat tidur lena dan mundar-mandir keluar ke jeti menanti sekiranya ada maklumat dari agensi yang menjalankan operasi di laut. Kira-kira 7 pagi ini saya dapat berita gembira kata anak saya dah ditemui.

“Semalam ulang tahun kelahiran saya dan antara doa yang saya panjatkan supaya Allah permudahkan urusan pencarian dan mereka dalam keadaan selamat… nampaknya Allah telah memakbulkan doa saya,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pejabat Menteri Besar Johor. – BERNAMA

Berita Harian X