Sabtu, 3 Ogos 2019 | 2:02pm

Takut ke tali gantung, pesara rugi RM30,000

KEPALA BATAS: Bimbang dijatuhi hukuman gantung kononnya kerana memiliki dadah, seorang pesara kerajaan memasukkan wang berjumlah RM30,000 ke akaun individu yang menipunya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa yang berusia 62 tahun menerima panggilan telefon daripada individu menyamar pegawai bank, memaklumkan mangsa mempunyai sejumlah tunggakan pinjaman yang belum dilunaskan.

Beliau berkata, suspek turut memaklumkan mangsa kononnya terbabit dalam kegiatan dadah dan aktiviti pengubahan wang haram dan mangsa perlu membuat bayaran RM30,000 ke akaun ‘pegawai bank’ berkenaan jika mangsa mahu hukumannya ke atasnya ditarik balik.

“Akibat ketakutan dan terkejut selepas menerima panggilan terbabit, mangsa menuruti kata-kata suspek apabila dia membuat pemindahan wang ke dalam akaun bank seperti yang diberikan dalam satu transaksi.

“Suspek pula meminta mangsa merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan keluarga.

“Selepas memindahkan wang, dia memaklumkan kepada anak-anaknya sebelum mendapati dirinya terjerat dengan penipuan sindiket Macau Scam.

“Mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, polis meminta orang ramai berhati-hati dan tidak mudah mempercayai panggilan diterima dan mengikuti apa sahaja perkara diminta suspek.

“Periksa dahulu dengan pihak berkaitan sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Berita Harian X