Sabtu, 3 Ogos 2019 | 10:30am

Suri rumah ditipu RM8,360

MARAN: Tindakan seorang suri rumah di sini membuat pinjaman wang selepas tertarik dengan iklan di Facebook (FB) membawa padah apabila kerugian RM8,360 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata pada 26 Julai lalu, mangsa berusia 33 tahun itu melayari laman sosial FB dan terlihat iklan berkenaan pinjaman wang.

“Mangsa kemudian berurusan dengan tiga suspek lelaki dan bersetuju membuat pinjaman sebanyak RM5,000.

“Suspek meminta mangsa membayar sejumlah wang bagi memproses kelulusan pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mangsa membuat tujuh kali transaksi ke dalam tiga akaun berasingan diberikan suspek bermula 27 Julai hingga Khamis lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM8,360.

“Selepas itu, mangsa diberitahu bahawa dia perlu membayar tambahan wang sebanyak RM2,500 untuk mendaftar akaun keselamatan tetapi wanita itu mula curiga dan merasakan sudah ditipu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sini, semalam,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 51 tahun di sini kerugian RM7,700 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Mohd Wazir berkata kejadian berlaku pada Khamis lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang suspek memperkenalkan diri sebagai kakitangan Mahkamah Terengganu dan memberitahu mangsa mempunyai tunggakan kad kredit sebanyak RM10,500.

“Mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan kononnya disambungkan pula ke IPD Terengganu dan lelaki itu memberikan butir dirinya kepada suspek.

“Suspek mendakwa mangsa terbabit dengan jenayah pengubahan wang haram dan pengedaran dadah. Mangsa sekali lagi menafikan dakwaan itu sebelum panggilan disambungkan pula kepada pihak ‘Bank Negara’ bagi mengelakkan akaun bank (mangsa) disekat dan dibekukan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa diminta memberikan nombor kad pengeluaran automatik (ATM) sebelum menerima nombor pengesahan transaksi (TAC) tidak lama kemudian dan menyerahkannya kepada suspek.

“Selepas panggilan itu selesai, mangsa menyemak akaun bank miliknya dan menyedari baki akaunnya sudah berkurangan RM7,700. Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Berita Harian X