Khamis, 1 Ogos 2019 | 7:59pm
LOKASI seorang wanita parah selepas ditetak bekas suaminya di lengan dan perut menggunakan golok, dipercayai akibat cemburu dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Kuala Krai, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

Wanita parah ditetak bekas suami

KUALA KRAI: Seorang wanita parah selepas ditetak bekas suaminya di lengan dan perut menggunakan golok, dipercayai akibat cemburu dalam kejadian di hadapan sebuah bank di bandar, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa yang berusia 48 tahun dikejarkan ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan lanjut kerana putus urat tendon.

Suami mangsa berusia 45 tahun turut cedera di jari dan lengan berikutan berlaku pergelutan ketika menyelamatkan isterinya.

Difahamkan, suspek berusia 50-an yang juga warga Pakistan menyerang mangsa kerana cemburu dan dendam selepas mereka bercerai pada hujung tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintenden Wan Fauzi Wan Ishak, berkata ketika kejadian pasangan suami isteri berkenaan menaiki Proton Preve menuju ke sebuah bank di pekan berkenaan.

Katanya, sebaik mangsa wanita keluar dari kereta, mangsa diserang suspek yang juga bekas suaminya bersenjatakan golok.

“Suami mangsa cuba membantu isterinya dan berlaku pergelutan sehingga dia turut mengalami kecederaan di lengan.

“Isterinya cedera di tangan kiri sehingga putus urat tendon selepas ditetak beberapa kali selain kecederaan di perut.

“Suspek kemudiannya melarikan diri dan pihak polis giat mengesan suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat mangsa, suspek yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 menggunakan nombor pendaftaran palsu sudah mengekori pasangan berkenaan ketika dalam perjalanan ke bank itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan mangsa perlu menjalani pembedahan untuk penyambungan urat yang putus.

Berita Harian X