Isnin, 29 Julai 2019 | 3:00pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah (dua dari kanan) menunjukkan kereta yang berjaya dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini. - Foto Mikail Ong
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah (dua dari kanan) menunjukkan kereta yang berjaya dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini. - Foto Mikail Ong

Geng Ah Heng curi kereta tumpas

GEORGETOWN: Polis menumpaskan sindiket curi kereta mewah dianggarkan bernilai lebih RM500,000 dikenali sebagai Geng Ah Heng selepas menahan enam lelaki dalam beberapa serbuan berasingan di Kedah, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah, berkata dalam serbuan yang dibuat di Alor Star dan Changlun di Kedah itu pada 18 Julai lalu, polis turut menemui enam kereta iaitu Toyota Estima, Toyota Hilux, Honda CRV, Honda City, dan dua Honda Civic, selain beberapa alat dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan curi kereta.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai aktif di sekitar Pulau Pinang sejak Januari lalu dan dipercayai menjual kenderaan dicuri serendah RM20,000 untuk pasaran gelap di Danok, Thailand.

“Bertindak atas kejadian curi kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dilaporkan hilang di kawasan perindustrian Perai pada April lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah melancarkan Op Lejang Industri untuk mencari dalang kes berkenaan dan tujuh kes sama yang turut dilaporkan sebelum ini.

“Siasatan yang dilakukan mendapati enam suspek yang berumur antara 20 hingga 60-an terbabit, ada di antaranya bekerja sebagai tukang cat kereta dan menjadi orang tengah untuk mencari pembeli di Danok, Thailand, melalui Bukit Kayu Hitam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Zainol berkata, geng yang didalangi seorang lelaki berbangsa Cina bernama Ah Heng itu hanya menyasarkan kenderaan jenis Honda dan Toyota yang mempunyai sistem penghidup enjin elektronik ‘push start button’.

Katanya, Geng Ah Heng turut menumpukan kawasan perindustrian di Perai dan Bayan Lepas sebagai lokasi sasaran, selain hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk mencuri kereta terbabit.

“Dengan tertumpasnya kumpulan ini, pihak polis berjaya menyelesaikan 18 kes kecurian kereta yang berlaku sejak Januari hingga pertengahan bulan ini, membabitkan 14 kes di Seberang Perai Tengah dan empat kes di Barat Daya.

“Semua suspek direman sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X