Ahad, 28 Julai 2019 | 4:26pm
LOKASI kejadian mesin generator hidraulik yang dalam pembaikan meletup di sebuah kilang di Batu 6, Jalan Seremban - Port Dickson, malam tadi. - Foto Mohd Khidir Zakaria
LOKASI kejadian mesin generator hidraulik yang dalam pembaikan meletup di sebuah kilang di Batu 6, Jalan Seremban - Port Dickson, malam tadi. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Pasangan suami isteri antara 3 melecur

PORT DICKSON: Pasangan suami isteri dan seorang lelaki melecur hampir seluruh badan selepas mesin generator hidraulik yang dalam pembaikan meletup di sebuah kilang di Batu 6, Jalan Seremban - Port Dickson, di sini, malam tadi.

Pekerja, M Ranjit, 56, berkata dalam kejadian pada kira-kira jam 10.20 malam itu, dia bersama beberapa pekerja yang sedang berehat dalam sebuah kabin di kilang berkenaan terkejut apabila terdengar jeritan api berulang kali daripada rakannya.

“Saya keluar dan tengok api sedang marak dengan tiga rakan sekerja turut terbakar.

“Kami panik dan mencapai alat pemadam api bagi membantu memadamkan api pada mangsa yang melecur teruk,” katanya ketika ditemui di kilang terbabit, hari ini.

Katanya, dua daripada tiga mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJS) menggunakan kereta milik majikan yang datang sejurus mendapat berita kemalangan itu, manakala seorang lagi dibawa ambulans ke Hospital Port Dickson (HPD).

“T Murugan, 44, dan isterinya, S Ralyan, 40, dibawa ke HTJS, manakala seorang lagi mangsa lelaki, K Thiruselvam, 46, dibawa ke HPD.

“Saya difahamkan dua lelaki itu sedang membaiki mesin hydrolik yang rosak, manakala wanita itu duduk berdekatan lokasi mereka bekerja,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson, Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.25 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, api sudah dipadam menggunakan dua alat pemadam api oleh pekerja di kilang itu.

“Difahamkan kebakaran dipercayai berpunca daripada api kecil dari mesin hydrolik yang menyambar sebuah tong silinder berdekatan yang mengandungi gas nitrogen, namun punca sebenar masih dalam siasatan.

“Ketika bomba sampai, hanya seorang mangsa di tempat kejadian kerana dua mangsa dipercayai suami isteri sudah dibawa ke hospital oleh majikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hairul Izam berkata, difahamkan Murugan melecur 95 peratus, manakala isterinya melecur 85 peratus dan seorang lagi mangsa melecur kira-kira 70 peratus.

Berita Harian X