Ahad, 28 Julai 2019 | 8:56am

Pesara rugi RM103,950 diperdaya Macau Scam

TEMERLOH: Seorang pesara kerajaan kerugian RM103,950 selepas diperdaya sehingga menyerahkan nombor kad debit dan nombor pengenalan peribadi enam angka (PIN) kepada sindiket Macau Scam.

Wang simpanan dalam akaun bank lelaki berusia 63 tahun itu dipercayai dikeluarkan secara berperingkat sejak kelmarin oleh sindiket berkenaan yang menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terbabit kes jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata terdahulu mangsa yang tinggal di Taman Saga, di sini, menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai ‘Wong’ kira-kira jam 10 pagi Jumaat lalu.

Beliau berkata, suspek menyamar sebagai kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi di Pulau Pinang dan mendakwa mangsa ada tunggakan bil telefon sebanyak RM4,000 serta akan disenaraihitamkan.

“Talian kemudian disambungkan pula kepada pihak ‘polis’ Pulau Pinang dan berhubung dengan dua lagi suspek menyamar sebagai pegawai polis.

“Suspek meminta butiran kad bank milik mangsa bagi membekukan akaun kononnya untuk siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian menyerahkan nombor kad debit dan nombor PIN miliknya, selain membuka perbankan dalam talian atas arahan suspek.

“Pada jam 3.49 petang hari sama, mangsa mendapati ada 13 transaksi berjumlah RM103,950 dipindahkan ke dalam tiga akaun berasingan tanpa pengetahuannya.

“Pengadu mulai curiga sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, di sini, semalam,” katanya.

Beliau berkata, polis sudah merakam percakapan mangsa dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kita juga sedang memburu semua suspek terbabit, termasuk tiga pemilik nombor akaun yang diguna untuk memindahkan wang milik mangsa. Polis sudah mengenal pasti tiga pemilik akaun terbabit dan sedang mengesan semua individu berkenaan,” katanya.

Berita Harian X