Jumaat, 26 Julai 2019 | 10:57am
LEE Lam Thye
LEE Lam Thye

MCPF gesa kerajaan bertegas dalam isu vape, ghost smoke

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas yang bersepadu bagi mengatasi penjualan dan penggunaan vape serta gula-gula ‘ghost smoke’ dalam kalangan kanak-kanak selain pelajar sekolah.

Naib Pengerusi Kanannya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pihak berkuasa berkaitan perlu bergerak lebih pantas untuk menghentikan penjualan bahan itu manakala pihak sekolah pula perlu memantau dan mengadakan kempen kesedaran mengenai bahaya penggunaannya.

Katanya, walaupun sesetengah cecair vape dan asap ‘ghost smoke’ dilapor tidak mengandungi bahan berbahaya seperti nikotin, tiada pihak yang boleh beri jaminan bahawa bahan itu tidak boleh dicampur bahan terlarang seperti dadah.

“Ibu-bapa pula tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada pihak sekolah atau pihak berkuasa saja kerana mereka perlu memantau kegiatan anak-anak mereka bagi memastikan tidak ada yang terbabit dengan amalan menghisap vape atau ‘ghost smoke’

“Kita perlu ingat, terdapat kemungkinan menghisap bahan itu boleh menjadi permulaan kepada masalah ketagihan rokok dan dadah dalam kalangan kanak-kanak serta remaja.

Kebanyakan mereka yang merokok atau menyalah gunakan dadah selalunya bermula dengan sikap ingin tahu atau ‘cuba-cuba’ bersama rakan-rakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut berharap rang undang-undang baharu berkaitan kawalan penggunaan rokok elektronik atau vape dan sisha dapat dibentang di Parlimen secepat mungkin bagi menangani masalah ini.

“Ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan penguatkuasaan sukar dilakukan dan jawatankuasa khas yang diwujudkan baru-baru ini perlu mencari kaedah terbaik mengawal penggunaan vape, sisha dan rokok elektronik termasuk mengharamkan penjualannya kepada pelajar serta kanak-kanak.

“Ia juga harus mengambil kira bahan-bahan yang mempunyai pengaruh yang sama termasuk peralatan atau gula-gula yang mungkin diperkenalkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Pihak berkuasa mesti sentiasa berada beberapa langkah ke hadapan untuk menangani masalah ini kerana industri dan sindiket ini sentiasa berubah mengikut peredaran masa serta teknologi,” katanya.

Tegas beliau, kerajaan perlu memandang serius syor beberapa pihak terutama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), yang menggesa pengharaman segera jualan vape dalam kalangan masyarakat khususnya golongan remaja.

Gesaan itu dibuat berikutan kandungan dalam cecair vape dipercayai dicampur dengan dadah dan terdapat banyak pihak beranggapan vape hanya mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan, tanpa tar yang menjadi punca kanser,” katanya.

Berita Harian X