Khamis, 25 Julai 2019 | 11:45am
Gula gula ghost smoke cool fruit powder yang di rampas dalam operasi yang dijalankan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Johor di sebuah syarikat pemborong makanan ringan di Masai Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed
Gula gula ghost smoke cool fruit powder yang di rampas dalam operasi yang dijalankan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Johor di sebuah syarikat pemborong makanan ringan di Masai Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

Peniaga sorok Ghost Smoke

JOHOR BAHRU: Penjaja dan peniaga kedai runcit berhampiran sekolah yang sebelum ini menjual gula-gula ‘Ghost Smoke’ dipercayai sudah menyembunyikan produk berkenaan selepas menjadi viral.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro, berkata pemeriksaan anggotanya di 131 premis sejak kelmarin, mendapati tiada gula-gula berkenaan dijual di premis runcit dan penjaja kecil.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan di sebuah premis syarikat pemborong makanan ringan di Masai, di sini, kelmarin, menemui lima kotak mengandungi 150 peket gula-gula Ghost Smoke bernilai RM37.50.

“Kita merampas semua gula-gula itu kerana meragui label kandungan serta kesahihan logo halal yang dicetak pada bungkusan itu. Kita juga menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti dari mana mereka mendapat bekalan.

“Siasatan dijalankan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM250,000 bagi pertubuhan atau syarikat. Jika peniaga bukan pertubuhan, mereka boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

“Berdasarkan maklumat, harga jualan kepada peruncit ialah RM7.50 bagi setiap kotak sebelum dijual kepada pelajar dengan harga 50 sen sepeket kepada pelajar sekolah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, gula-gula itu dibawa masuk dari luar negara oleh syarikat pengimport berpejabat di Lembah Klang.

Beliau berkata, 200 penguat kuasa KPDNHEP dikerahkan membuat pemeriksaan di seluruh negeri dengan menyasarkan premis runcit dan penjaja berhampiran sekolah, selain syarikat pemborong.

Katanya, orang ramai wajar menyalurkan maklumat, terutama tempat peniaga yang menjual gula-gula Smoke Ghost bagi membolehkan tindakan diambil.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Berita Harian X