Rabu, 24 Julai 2019 | 6:39pm
KEGIATAN berzikir sambil berdiri dengan mengerakkan tubuh badan yang dirakam di surau Kampung Bantal Seberang, Ulu Tembeling yang mencurigakan orang ramai. NSTP/Ihsan Pembaca
KEGIATAN berzikir sambil berdiri dengan mengerakkan tubuh badan yang dirakam di surau Kampung Bantal Seberang, Ulu Tembeling yang mencurigakan orang ramai. NSTP/Ihsan Pembaca

Zikir sambil berdiri bukan ajaran sesat

JERANTUT: Rakaman video memaparkan amalan berzikir sambil berdiri di sebuah surau di Kampung Bantal Sebarang, Ulu Tembeling yang tular di laman sosial baru-baru ini disahkan tidak mempunyai unsur ajaran sesat.

Perkara itu diputuskan hasil siasatan oleh Bahagian Akidah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Jabatan Agama Islam Terengganu.

Kadi Daerah Jerantut, Syarifuddin Mohamad Sa’ad, berkata siasatan dilakukan oleh JAIP mendapati bahawa ritual berkenaan bukan ajaran sesat ataupun amalan terpesong daripada syariat Islam sebagaimana didakwa orang ramai.

“Ia sebenarnya kaedah zikir yang menjadi amalan dalam tarekat Ahmadiyaah Idrissiyyah. Tarekat ini adalah aliran diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai tidak bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan hukum syarak.

“Justeru, kita berharap orang ramai tidak cepat menghukum sesuatu sebagai sesat sehinggalah ia benar-benar melanggar batas akidah dan hukum syarak,” katanya.

Klip video berdurasi satu minit 12 saat dan 22 saat itu didakwa berlaku di surau di Kampung Bantal Seberang, Ulu Tembeling, yang dirakam penduduk yang mengikuti aktiviti berkenaan pada 11 Julai lalu.

Ia memaparkan beberapa jemaah lelaki dan wanita seakan-akan sedang berzikir sambil berdiri dan menggoyangkan badan dalam sebuah surau di kampung itu, diketuai oleh seorang lelaki dikenali sebagai Tok Ki atau Tok Ayah.

Katanya, pihak berwajib di peringkat daerah dan negeri akan segera bertindak jika mendapati ada unsur penyelewengan akidah dilakukan berlandaskan undang-undang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata berdasarkan siasatan di lokasi kejadian, tujuan utama indvidu berkenaan berada di situ adalah atas dasar silaturahim dan melakukan perubatan.

“Maklumat diterima daripada Jabatan Agama Islam Terengganu mendapati mereka pernah menyiasat individu itu sebelum ini dan tidak mensabitkan beliau dengan tuduhan terpesong daripada ajaran Islam,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan mendapati individu berkenaan adalah pengamal tarekat yang diamalkan di Mesir.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X