Rabu, 24 Julai 2019 | 1:57pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Bekas pengarah YBNT didakwa lagi tuduhan menipu

AMPANG: Seorang bekas Pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) yang sebelum ini didakwa atas 76 tuduhan menipu dalam urusan pakej umrah, sekali lagi didakwa atas pertuduhan sama di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mohd Adam Mohd Ghazali, 31, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Adam didakwa menipu jurutera, Ahmad Syahir Yusoff, 38, untuk membuat transaksi wang pendahuluan sebanyak RM6,000 ke dalam akaun Bank Muamalat Berhad milik YBNT Umrah Travel yang diuruskan olehnya bagi urusan pakej umrah yang tidak wujud.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan AU4/4, Taman Seri Keramat Tengah, Hulu Kelang, di sini, pada 14 November 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa, menawarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Kelvinder Singh Sindhu, memohon jaminan RM2,000 dengan alasan perlu menanggung kedua ibu bapa selain hanya bekerja sebagai pembeli peribadi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pada 16 dan 17 Julai lalu, Mohd Adam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas 76 pertuduhan sehingga menyebabkan kerugian hampir RM300,000.

Sebelum ini, tertuduh dilepaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya namun menghilangkan diri daripada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, dia berjaya ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu di sebuah rumah di Damansara, Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu.

Tertuduh dipercayai menyalahgunakan surat yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan menawarkan pakej umrah secara subsidi kepada guru di negeri itu.

Penipuan pakej umrah itu dikatakan menjejaskan seramai 4,800 individu, termasuk guru selepas mereka membayar sebanyak RM3,000 seorang.

Berita Harian X