Selasa, 23 Julai 2019 | 6:42pm
Najib hadir pada sambung perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/Hafiz Sohaimi
Najib hadir pada sambung perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Najib dapat salinan penyata akaun bank

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan Datuk Seri Najib Razak mendapatkan salinan penyata bank miliknya untuk menyediakan pembelaan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd dihadapinya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya, berkata tiada peruntukan undang-undang termasuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Perkhidmatan Kewangan yang menghalang pembelaan untuk mendapatkan dokumen bagi perbicaraan kes.

Mohd Nazlan berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan peruntukan undang-undang yang memberikan SPRM kuasa untuk berbuat demikian.

“Permohonan mendapatkan dokumen adalah sebahagian daripada siasatan.

“Ia bagi memastikan perbicaraan yang adil dan tertuduh mempunyai hak menyediakan pembelaan lengkap,” katanya pada perbicaraan kes SRC International yang masuk hari ke-42, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Nazlan berkata Najib hanya mempunyai akses kepada dokumen yang dibenarkan oleh pihak Ambank.

“Pihak bank mempunyai budi bicara untuk tidak memberikan dokumen kepada Najib atas alasan sulit,” katanya.

Terdahulu pada awal prosiding, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, memberitahu mahkamah pihak Ambank melalui surat bertarikh 15 Mei lalu memaklumkan bekas Perdana Menteri itu perlu menyemak dengan SPRM sebelum menyerahkan dokumen berkaitan akaunnya.

Muhammad Shafee berkata, SPRM tidak mempunyai kuasa menghalang Najib mendapatkan dokumen berkaitan akaun bank miliknya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, berhujah SPRM mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada Ambank kerana perkara itu masih dalam siasatan.

Beliau berkata, dokumen berkenaan diberi Ambank dengan kelulusan SPRM.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee membantah hujah pendakwaan dan memaklumkan arahan itu masih berkuat kuasa dan mungkin memberi kesan kepada pembelaan Najib.

Berita Harian X