Isnin, 22 Julai 2019 | 2:08pm
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Culik selepas cinta ditolak

KEPALA BATAS: Tidak dapat menerima kenyataan cintanya ditolak menyebabkan seorang pemuda nekad menculik dan melarikan seorang wanita di sebuah pasaraya besar dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa berusia 29 tahun yang juga pekerja pasaraya berkenaan berada di dalam kereta miliknya untuk pulang ke rumah, sebelum suspek tiba-tiba bertindak masuk ke dalam kenderaannya.

Suspek yang berusia 27 tahun kemudian menolak mangsa ke tempat duduk sebelah pemandu dan terus memecut laju kereta jenis Proton Iriz itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kejadian itu disedari rakan mangsa yang terdengar jeritan wanita itu meminta pertolongan.

“Rakan sekerja mangsa cuba mengejar kenderaan yang dilarikan suspek tetapi gagal, manakala bapa mangsa yang datang ke pasaraya berkenaan selepas mendapati anaknya tidak pulang ke rumah gagal menghubungi telefon anak perempuannya.

“Selepas beberapa jam insiden penculikan terbabit, suspek akhirnya datang menyerah diri kepada pihak polis atas nasihat dan pujukan abang kandungnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Insiden penculikan itu tular di laman sosial apabila netizen yang berada berhampiran lokasi kejadian memuat naik video memaparkan kenderaan yang dilarikan suspek dikejar kenderaan rakan mangsa namun tiada kemalangan berlaku.

Noorzainy berkata, suspek membawa mangsa sehingga ke pasar Tasek Gelugor dan menghubungi abangnya bagi memaklumkan dia menculik wanita itu.

“Mangsa pula memaklumkan suspek mengunci semua pintu kereta dan mengikat tangannya dengan tali selama 20 minit sebelum menunggu abang suspek datang ke pasar berkenaan.

“Abang suspek kemudian membawa adiknya dan mangsa ke Pantai Bersih, Butterworth, yang mana pada ketika itu abang suspek memujuk mangsa supaya tidak memanjangkan perkara ini dan meminta adiknya menyerah diri kepada polis,” katanya.

Katanya, suspek akur dengan pujukan abangnya dan menyerah diri di Balai Polis Kepala Batas pada jam 4.30 pagi tadi.

Noorzainy berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak mahu menjalani sebarang rawatan di hospital.

“Menurut bapa kandung mangsa, sebelum ini dia ada membuat laporan polis apabila suspek sering mengganggu anak perempuannya namun ia diselesaikan dengan cara baik.

“Bagaimanapun suspek masih tidak dapat menerima kenyataan cintanya ditolak lalu bertindak di luar jangka dengan menculik mangsa,” katanya.

Katanya, semakan turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X