Khamis, 18 Julai 2019 | 8:45pm
EXCO Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan (tiga dari kanan) melawat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Linggi yang menerima rawatan di Hospital Port Dickson (HPD), hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman
EXCO Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan (tiga dari kanan) melawat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Linggi yang menerima rawatan di Hospital Port Dickson (HPD), hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

42 murid muntah, sesak nafas hidu racun serangga

PORT DICKSON: Seramai 42 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Linggi di sini mengalami gejala pening, muntah, batuk, pedih mata dan sesak nafas pagi ini akibat terhidu racun serangga yang disembur di sebuah ladang cili.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Jusman Roman, berkata kejadian kira-kira jam 10 pagi itu membabitkan 12 murid lelaki dan 30 perempuan.

Katanya, siasatan awal mendapati murid terbabit terhidu bahan itu menyebabkan mereka pening, muntah, batuk, pedih mata dan sesak nafas.

Beliau berkata, racun serangga dari kebun sayuran itu dikesan mempunyai gas malathion yang bersifat toksik dan amat berbahaya kepada orang awam.

“Kita percaya pekebun kecil di kawasan itu membuat semburan tanpa mengikut jadual hingga menyebabkan murid menjadi mangsa.

“Sepatutnya kegiatan itu tidak dilakukan ketika aktiviti persekolahan berikutan kawasan sekolah terletak kira-kira 200 meter dari kawasan pertanian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di SK Linggi di sini, hari ini.

Jusman berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 2.13 petang, pihaknya bergegas ke lokasi bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Port Dickson dan Seremban 2 serta Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT).

Katanya, sebaik tiba pihaknya berusaha menstabilkan keadaan dengan mengosongkan kawasan sekolah serta memulakan operasi nyah cemar sebelum menghantar murid yang terbabit ke hospital dan klinik untuk mendapatkan rawatan.

“Ketika kejadian tiada kakitangan sekolah atau orang awam yang terbabit sama.

“Kita percaya tiupan angin yang membawa racun itu sehingga menyebabkan udara tercemar dan terkena pada murid yang berada di kawasan sekolah,” katanya.

Beliau berkata, kesan awal apabila mangsa terkena racun itu menyebabkan pening kepala, batuk, mata pedih, sesak nafas dan mata berair.

Katanya, selepas sejam bomba menstabilkan keadaan, pihaknya mendapati tiada bacaan gas toksik berbahaya yang dikesan.

“Semua murid diserahkan ke Hospital Port Dickson dan Klinik Kesihatan Linggi untuk mendapatkan rawatan awal,” katanya.

Sementara itu, EXCO Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata pengusaha ladang cili terbabit diarah menghentikan operasi penyemburan racun serangga serta-merta.

Katanya, pihaknya juga sudah meminta jabatan berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pemeriksaan dan penilaian.

"Kerajaan negeri turut menyarankan pihak sekolah merujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya ditutup sehingga kerja pembersihan siap dijalankan.

"Ini supaya kesihatan murid SK Linggi tidak bertambah buruk," katanya pada sidang media di Hospital Port Dickson (HPD) di sini, hari ini.

Murid Tahun Enam, Nur Ezzadina Mohd Fadzi, 12, berkata dia dan rakan berasa pening, loya dan sesak nafas apabila terhidu bahan kimia itu.

Katanya bau racun itu mula disedari ketika dia sedang menduduki pra Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pagi tadi, sebelum ia menjadi semakin kuat.

"Sebelun jawab ujian lagi dah mula bau. Tapi ketika itu tidak berapa kuat, jadi kami teruskan jawab ujian matematik.

"Selepas ujian, ramai (murid) mula rasa pening dan loya, malah ada yang muntah. Cikgu kemudian arahkan kami semua ke kantin untuk jalani pemeriksaan kerana jururawat dipanggil le sekolah," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Port Dickson (HPD).

Murid lain, R Deshwindran, 9, berkata ketika kejadian, dia sedang mengulang kaji di sebuah pondok berhampiran padang sekolah sebelum mula rasa pening.

"Masa itu dianggarkan jam 12.30 tengah hari. Saya tiba-tiba rasa pening dan sesak nafas sebelum muntah. Saya terus dibawa ke HPD," katanya.

Berita Harian X