Rabu, 17 Julai 2019 | 7:13pm
TIMBALAN Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass (tengah) menunjukkan senapang angin yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Norasikin Daineh
TIMBALAN Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass (tengah) menunjukkan senapang angin yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Norasikin Daineh

Mahu cari `kaki lalok' tapi jumpa senapang

Kota Kinabalu: Polis menemui lima laras senjata api jenis senapang angin dalam satu serbuan di sebuah rumah di Bongawan, Papar, di sini semalam.

Serbuan kira-kira jam 10.30 pagi itu dilakukan oleh sepasukan unit pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di sebuah rumah dipercayai dijadikan tempat penagih dadah melepaskan gian.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata rumah itu didapati tidak bertutup dan dipercayai ada penghuni, namun bertindak melarikan diri dari rumah berkenaan.

“Kita dapati pintu tidak berkunci dan seorang yang kita syaki penagih dadah melarikan diri. Hasil pemeriksaan menemui peralatan menagih dadah.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudian menemui lima laras senjata api jenis senapang angin diletakkan di bawah katil dalam bilik tidur di rumah berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Zaini berkata, susulan penemuan senjata buatan sendiri itu seterusnya membawa kepada penemuan satu bil elektrik tertera penama dipercayai pemilik rumah berkenaan.

“Usaha sedang dijalankan bagi mengesan pemilik rumah berkenaan bagi membantu siasatan susulan penemuan senjata api berkenaan. Kita juga mahu mendapatkan maklumat siapa yang menetap di rumah itu atau pemilik sewakan kepada siapa,” katanya.

Beliau ketika mengulas lanjut, berkata berdasarkan modus operandi digunakan, senjata itu disimpan adalah dipercayai untuk dijual atau bagi tujuan berburu.

“Kita percaya lima laras senapang angin itu adalah untuk memburu haiwan memandangkan rumah yang diserbu berhampiran dengan kawasan hutan dan juga dipercayai untuk tujuan lakukan jenayah lain,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Zaini menasihatkan orang ramai supaya tidak menyimpan senapang angin atau jenis bakakuk kerana ia adalah tidak dibenarkan mengikut undang-undang.

“Senjata ini memang tidak boleh disimpan dan saya mohon orang ramai supaya menyerahkannya sebelum dikesan pihak polis,” katanya.

Berita Harian X