Ahad, 14 Julai 2019 | 4:44pm
Anggota polis Lipis berjaya menyelamatkan tiga lelaki warga India yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang untuk dieksploitasi menjadi buruh kasar selepas berjaya menyerbu sebuah premis dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun di Kampung Jeram Bungor, Kerambit. - Ihsan Polis Pahang

Derita tiga buruh warga India berakhir

LIPIS: Dirantai, dipukul, didera dan dibiarkan kebulur. Itu penderitaan tiga lelaki warga India yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Kampung Jeram Bungor, Kerambit, di sini.

Penderitaan mereka berakhir apabila diselamatkan polis petang semalam selepas seorang daripada mereka melarikan diri dan memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata ketiga-tiga mangsa berusia antara 33 hingga 48 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia untuk bekerja sebagai buruh di ladang kepala sawit.

“Berdasarkan laporan yang dibuat seorang mangsa, dia masuk ke negara ini pada Disember lalu menggunakan khidmat ejen di India untuk bekerja menggunakan pas lawatan sosial dalam sektor perladangan.

“Bagaimanapun bermula 15 Disember sehingga hari ini mangsa hanya menerima gaji RM600 sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa juga mendakwa dia dipukul dan didera untuk bekerja selama 12 jam sehari tanpa rehat dan tidak pernah diberi cuti rehat.

“Pasport dan telefon bimbit juga disimpan oleh anak majikan. Seorang mangsa berusia 48 tahun juga dirantai dan dipukul serta didera lebih kurang sebulan sehingga cedera di tangan kiri,” katanya.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang juga majikan mangsa di sebuah restoran di kampung berkenaan petang semalam bagi membantu siasatan.

“Suspek direman bermula hari ini selama empat hari bagi siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Berita Harian X