Ahad, 14 Julai 2019 | 2:59pm

'Tok Ki' dipanggil jelaskan zikir sambil berdiri, gerak tubuh

JERANTUT: Pihak berkuasa agama di sini, sudah memanggil seorang lelaki yang dipercayai mengetuai aktiviti berzikir sambil berdiri dan menggerakkan tubuh seperti yang tersebar di media sosial, semalam.

Kadi Pejabat Agama Islam Daerah Jerantut, Syarifuddin Mohamad Sa’ad, berkata pihaknya sudah memanggil lelaki terbabit dikenali sebagai Tok Ki @ Tok Ayah yang berasal dari Terengganu, untuk siasatan kira-kira jam 11 pagi semalam.

Bagaimanapun, katanya, lelaki itu tidak muncul sehingga jam 4.30 petang.

“Kita menerima rakaman video ini dengan perlakuan yang disyaki bertentangan dengan syarak. Rakaman itu memaparkan beberapa lelaki dan perempuan berdiri sambil melakukan pergerakan badan dan mengalunkan bacaan yang kurang jelas sebutannya.

“Saya sudah menghubungi Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terbabit untuk memberi penjelasan mengenai aktiviti yang dipercayai dilakukan pada malam Jumaat, 11 Julai lalu,” katanya di sini, hari ini.

Syarifuddin berkata, lelaki berkenaan dikatakan diundang bagi mengetuai sekumpulan penduduk berzikir sambil berdiri serta menggerakkan kepala dan badan.

“Lelaki dikenali sebagai Tok Ki meminta kami bertemu dengannya di kampung itu esok (Isnin). Kami akan mendengar penjelasan beliau dengan disaksikan panel akidah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP),” katanya.

Tiga rakaman video memaparkan sekumpulan penduduk sebuah kampung di sini, berzikir sambil berdiri dan menggerakkan tubuh, tersebar luas di media sosial semalam.

Video berdurasi antara 22 saat dan 1.12 minit itu dipercayai dirakam seorang penduduk Kampung Seberang Bantal, Ulu Tembeling yang mengikuti aktiviti dilakukan di sebuah surau di kampung terbabit pada 11 Julai lalu.

Gambar daripada rakaman video memaparkan sekumpulan penduduk sebuah kampung di Jerantut, berzikir sambil berdiri dan menggerakkan tubuh, tersebar luas di media sosial semalam. - Ihsan pembaca
Berita Harian X