Sabtu, 13 Julai 2019 | 11:37am

Maut terkena renjatan elektrik

IPOH: Seorang pekerja pemasangan tiang lampu jalan maut terkena kejutan elektrik di Kilometer 16.5 Jalan Ipoh - Kampar berhampiran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, Mohamad Kamil Mohamed, 28, yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta bagi kerja menggantikan tiang lampu di jalan berkenaan sejak Selasa lalu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 6.25 petang daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng mengenai seorang lelaki terkena renjatan elektrik berhampiran lampu isyarat di laluan terbabit.

“Siasatan awal dan hasil temubual bersama kawan mangsa mendapati Mohamad Kamil dan lapan lagi pekerja memulakan kerja menggantikan tiang lampu yang baharu bermula Selasa lalu.

“Ketika kejadian, mangsa bersama empat rakan sekerja sedang memasang wayar tiang lampu elektrik namun secara tiba-tiba arus elektrik terkena pada mangsa dan rakannya tidak sempat untuk menyelamatkannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasron Nazri berkata, pemeriksaan fizikal mangsa di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kematian mangsa disahkan Penolong Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Malim Nawar yang hadir ke lokasi kejadian.

“Mangsa yang beralamat di Padang Rengas kemudian dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat jam 8 malam tadi dan hasilnya mangsa disahkan maut akibat renjatan elektrik.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Berita Harian X