Sabtu, 13 Julai 2019 | 11:12am
BOT nelayan yang ditahan PPM dalam Ops Gelora di perairan Pulau Manukan, Kota Kinabalu, awal pagi kelmarin. - Foto ihsan PPM
BOT nelayan yang ditahan PPM dalam Ops Gelora di perairan Pulau Manukan, Kota Kinabalu, awal pagi kelmarin. - Foto ihsan PPM

Memukat dalam gelap elak dikesan pihak berkuasa

KOTA KINABALU: Taktik seorang nelayan bot pukat tunda melakukan kegiatan menangkap ikan dalam keadaan gelap di kawasan larangan, gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Pulau Manukan, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, lelaki tempatan berusia 53 tahun itu ditahan PPM yang menjalankan Ops Gelora di perairan terbabit dan bertindak atas maklumat diberikan Unit Risikan Marin.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata nelayan itu didapati sedang leka menangkap ikan di kawasan perairan Pulau Manukan pada jarak kurang tiga batu nautika dari persisiran pantai.

“Nelayan itu memukat di kawasan larangan walaupun syarat lesen jelas menerangkan lokasi dan jarak menangkap ikan dibenarkan adalah di luar kawasan tiga batu nautika.

“Lelaki itu sanggup memukat dalam keadaan bergelap dengan memadamkan semua lampu bot bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Susulan itu, beliau berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen,” katanya.

Berita Harian X