Jumaat, 12 Julai 2019 | 11:19am
BAHAN api diesel dan petrol serta bot yang berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam satu operasi bersepadu, di sekitar perairan Kudat. - Foto ihsan PPM
BAHAN api diesel dan petrol serta bot yang berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam satu operasi bersepadu, di sekitar perairan Kudat. - Foto ihsan PPM

PPM lancar operasi bersepadu kekang kegiatan jenayah di kawasan perairan

KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah melancarkan operasi bersepadu di kawasan perairan daerah ini bagi membanteras kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi, pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pengeboman ikan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata operasi itu turut membabitkan kerjasama agensi berkaitan, termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Perikanan.

Katanya, penumpuan diberikan kepada tiga lokasi iaitu Perairan Batu Mandi, Sikuati dan Simpang Mengayau yang dikenalpasti sering digunakan sebagai laluan bagi pelbagai kegiatan jenayah rentas sempadan, bertindak atas maklumat risikan dan pemantauan dijalankan Unit Risikan Marin (URM).

“Ia membawa kepada rampasan tiga bot nelayan, selain 850 liter diesel, 180 liter petrol dan wangh tunai berjumlah Peso 657,500 (RM52,780). Kesemua barangan itu dipercayai mahu dibawa ke negara jiran dan kes disiasat mengikut Seksyen Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati enam kru bot nelayan berkenaan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan ditahan mengikut Seksyen 6 (1) (c)Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

ANTARA kru bot nelayan ditahan dalam satu operasi bersepadu, di sekitar perairan Kudat. - Foto ihsan PPM
ANTARA kru bot nelayan ditahan dalam satu operasi bersepadu, di sekitar perairan Kudat. - Foto ihsan PPM

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya turut menahan sebuah bot nelayan dari Kota Kinabalu selepas didapati menjalankan aktiviti perikanan di luar kawasan dibenarkan, selain gagal mematuhi syarat lesen dikeluarkan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002,” katanya.

Katanya, kesemua yang ditahan, termasuk barangan dirampas diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKHEP) dan Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah (JPDS) Kudat untuk tindakan lanjut.

“Keseluruhan barang rampasan dan nilai kompaun dikeluarkan bagi kesemua kes berkenaan berjumlah RM251,175.57,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan operasi pada hari pertama mereka melakukan pemeriksaan terhadap ikan dijual di Pasar Ikan Kudat dan ikan yang baharu tiba dari Pulau Banggi di Terminal Feri Kudat - Banggi.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada ikan yang dikesan diperoleh hasil daripada kaedah bom ikan. Bagaimanapun, PPM akan terus berusaha membanteras aktiviti jenayah di perairan Sabah termasuk aktiviti bom ikan di daerah ini,” katanya.

Berita Harian X