Khamis, 11 Julai 2019 | 11:39am
PENGARAH Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan (dua dari kiri) menunjukkan peralatan bom ikan dan sampan yang berjaya dirampas dalam operasi khas di Tanjung Logong, Pulau Gaya, di Kota Kinabalu. - Foto ihsan APMM
PENGARAH Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan (dua dari kiri) menunjukkan peralatan bom ikan dan sampan yang berjaya dirampas dalam operasi khas di Tanjung Logong, Pulau Gaya, di Kota Kinabalu. - Foto ihsan APMM

Dua sampan untuk aktiviti bom ikan ditemui

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas dua sampan dipercayai digunakan untuk aktiviti pengeboman ikan berhampiran Tanjung Logong, Pulau Gaya, di sini, semalam.

Kedua-dua sampan berkenaan dirampas pada jam 9.50 pagi dalam operasi khas Maritim Malaysia membanteras aktiviti pengeboman ikan, pam bot haram dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditumpukan di kawasan Teluk Likas dan sekitar Pulau Gaya.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan, berkata dalam operasi itu, kedua-dua sampan berkenaan dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum dihampiri anggota penguat kuasa.

Bagaimanapun katanya, dua awak-awak sampan berkenaan yang menyedari kehadiran pihak berkuasa terjun ke laut dan berenang ke daratan sebelum menghilangkan diri.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap dua sampan berkenaan membawa kepada penemuan pelbagai peralatan dan bahan letupan untuk aktiviti pengeboman ikan.

“Kedua-dua sampan berkenaan bersama peralatan bom ikan yang dirampas kemudiannya dibawa balik ke Jeti Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamaruszaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 atau penjara selama 2 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Kamaruszaman berkata, Maritim Malaysia mempergiatkan operasi mengesan dan membanteras aktiviti pengeboman ikan di seluruh Zon Maritim Negeri Sabah lanjutan kejadian malang yang menimpa dua pelancong China dan seorang penyelam di perairan Semporna baharu-baharu ini.

Katanya, hasil maklumat awam dan risikan mendapati kawasan Teluk Likas adalah antara kawasan aktiviti bom ikan yang kerap dilakukan oleh PATI.

“Operasi kali ini diatur gerak ke kawasan Teluk Likas dalam usaha mencegah aktiviti mengebom ikan daripada menjadi berleluasa.

“Ini kerana ia bukan saja berbahaya kepada orang ramai dan pelaku itu sendiri tetapi juga memberi kesan kepada ekosistem kehidupan marin seperti kerosakan terumbu karang dan pembiakan ikan,” katanya.

Kamaruszaman berkata, orang ramai terutamanya komuniti maritim diminta supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut dan melaporkan sebarang kejadian jenayah atau kecemasan di laut di talian 088- 260175 untuk tindakan segera.

Berita Harian X