Khamis, 11 Julai 2019 | 10:27am
SUNGAI Danga. - Foto Zain Ahmed
SUNGAI Danga. - Foto Zain Ahmed

Pencemaran Sungai Danga bukan daripada loji kumbahan - IWK

JOHOR BAHRU: Syarikat perkhidmatan pembetungan nasional, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menegaskan pencemaran di Sungai Danga, di sini bukan berpunca daripada aktiviti rawatan air sisa kumbahan.

Dalam satu kenyataan hari ini, IWK mengesahkan loji olahan air sisa kumbahan yang dikendalikan pihak mereka di sekitar Sungai Danga dan keseluruhan kawasan operasi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) berada dalam keadaan baik dan mematuhi piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“IWK turut bekerjasama dengan pihak kawal selia seperti JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (BAKAJ) dan MBIP berhubung aduan air Sungai Danga yang bertukar warna menjadi hitam dan berbau.

“Pasukan IWK Johor turut membantu agensi terbabit dalam mencari punca sebenar pencemaran di sungai berkenaan,” katanya dalam kenyataan itu.

IWK turut memaklumkan, hasil persampelan air efluen terawat semasa di hujung proses rawatan juga menunjukkan ia memenuhi piawaian yang ditetapkan JAS dan berada dalam keadaan baik.

“Untuk makluman, IWK sentiasa memastikan kerja operasi dan penyelenggaraan di semua 6,700 loji di bawah seliaan IWK sentiasa mengikut spesifikasi dan prosedur yang sudah ditetapkan pihak berkuasa,” tambahnya.

Rabu lalu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Amran A Rahman, dilaporkan berkata, JPS memaklumkan pencemaran di Sungai Danga berpunca daripada pelepasan akhir loji IWK di kawasan Taman Bukit Indah dan Taman Perling.

Berita Harian X