Selasa, 9 Julai 2019 | 7:45pm

Pencuri sempat jual barang kemas, beli telefon baharu

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita yang dipercayai mencuri rantai leher seorang kanak-kanak berusia dua tahun di sebuah kedai barangan kelengkapan harian di Gong Datuk di sini, semalam, sempat menjual barangan kemas itu sebelum membeli sebuah telefon bimbit.

Bagaimanapun, kegembiraan suspek berusia 37 tahun itu tidak lama apabila dia ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu jam 12.10 tengah hari tadi, di sebuah rumah di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, Kuala Nerus.

Dalam kejadian jam 1.10 tengah hari semalam, nenek dan ibu kanak-kanak itu hanya menyedari rantai leher emas dipakainya hilang selepas dia menangis sebaik mereka tiba di rumah di Kampung Pagar Ubi, Kuala Nerus, pada jam 2 petang.

Sumber berkata, nenek mangsa berusia 54 tahun cuba mencari rantai leher berkenaan di seluruh rumah mereka, namun gagal menemuinya.

Katanya, mangsa kemudian mengesyaki rantai leher cucunya hilang ketika mereka berada di kedai barangan kelengkapan harian berkenaan lalu pergi semula ke kedai itu untuk membuat pemeriksaan.

“Sebaik tiba di kedai itu mangsa meminta bantuan pekerja di situ untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum terkejut melihat seorang wanita mencuri rantai leher cucunya.

“Dalam rakaman CCTV itu suspek dilihat berlegar-legar berhampiran kanak-kanak terbabit sebelum mendekatinya lalu menanggalkan rantai leher dipakai mangsa tanpa disedari nenek dan ibunya yang sedang membeli barang.

“Suspek kemudian sempat meneruskan urusan pembayaran barangan dibeli di kaunter dan dilihat dalam keadaan gelisah sebelum melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, berikutan kejadian mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak semalam bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku menjual rantai leher berkenaan di sebuah kedai emas di Gong Badak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abd Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan tangkapan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Berita Harian X