Selasa, 9 Julai 2019 | 4:07pm

Lelaki disangka 'payau' maut ditembak rakan

KENINGAU: Seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai ditembak secara tidak sengaja oleh rakannya ketika memburu di hutan Karamatoi, Sook, dekat sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa Fitrhiwandi Feritus, 18, maut di tempat kejadian selepas terkena tembakan di leher dan bahu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata siasatan awal mendapati mangsa dikatakan datang ke rumah suspek berusia 31 tahun untuk mengajak memburu di hutan Karamatoi, Sook, kerana menurut mangsa ketika ini adalah musim payau (rusa) keluar mencari makanan.

“Sebelum kejadian mangsa ada ternampak beberapa ekor payau di kawasan hutan berkenaan dan mengajak suspek keluar memburu.

“Ketika menunggu payau di kawasan hutan berkenaan, suspek terdengar bunyi dan melihat binatang payau muncul di kawasan semak.

“Suspek yang yakin itu adalah payau terus melepaskan tembakan ke arah haiwan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas itu, suspek bergerak ke arah haiwan berkenaan dan mendapati yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah itu adalah rakannya.

“Mangsa terkena tembakan dan parah. Suspek cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal dan mangsa sudah tidak bernyawa.

“Lalu suspek bergegas pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian itu kepada bapanya. Selepas itu, bapa suspek membawanya menemui ketua kampung sebelum memutuskan untuk membawa suspek menyerah diri di balai polis,” katanya.

Shahrudin berkata, berdasarkan maklumat itu, sepasukan polis diketuai oleh Asisten Superintendan Lee Nyuk Kim dengan dipandu arah oleh suspek bergegas ke lokasi dan menemui mangsa terlentang di tepi sungai dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

“Hasil pemeriksaan polis turut menemui selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk yang disyaki digunakan ketika kejadian itu.

“Mayat mangsa kemudian di bawa ke Hospital Keningau dan pemeriksaan luaran mendapati mangsa luka teruk di leher dan bahu,” katanya.

Menurut beliau, suspek warga tempatan direman selama tujuh hari sehingga 13 Julai ini untuk membantu siasatan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X