Ahad, 7 Julai 2019 | 1:43pm
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah lori di Kilometer 270.7 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban. NSTP/Ihsan BOMBA

Mentua, menantu selamat lori terbakar

SEREMBAN: Tindakan beberapa kenderaan lain membunyikan hon, menyelamatkan dua lelaki daripada rentung selepas lori dinaiki terbakar di Kilometer 270.7 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, Mohammad Fadzil Shaidin, 49, dan menantunya, Hamzah Abu Samah, 29, sempat menyelamatkan diri dengan keluar dari kenderaan itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Md Munawir Md Yusof, berkata seramai lapan anggota ke lokasi sejurus menerima laporan kejadian itu.

“Sebaik tiba, api sedang marak dan bomba segera mengambil tindakan memadamkan kebakaran. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam masa 12 minit.

“Sebanyak 39 tong polisterin yang diletakkan di bahagian belakang lori musnah. Kenderaan dianggarkan 80 peratus terbakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Md Munawir berkata, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan dari Johor ke Puchong, Selangor, untuk mengambil bekalan minuman susu dan air mineral.

Bagaimanapun, katanya, ketika dalam perjalanan itu, mereka mendengar bunyi hon dan cahaya lampu kenderaan lain dari belakang menyebabkan Mohammad Fadzil yang memandu lori berkenaan melihat melalui cermin sisi.

“Dia terkejut apabila melihat asap tebal di bahagian belakang lori lalu memberhentikan kenderaan itu sebelum keluar menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.

Berita Harian X