Ahad, 7 Julai 2019 | 11:50am
ABDUN menunjukkan gambar anaknya Zainal Abdun yang maut bersama dua pelancong asing dipercayai angkara bom ikan ketika aktiviti menyelam di Pulau Kalapuan, Semporna, semalam. - Foto BERNAMA

Zainal mahu tunai hasrat bapa 'naik' haji

SEMPORNA: Pengajar selam skuba, Zainal Abdun, 31, yang maut ketika menyelam di perairan Pulau Kalapuan, dekat sini, Jumaat lalu, menyatakan hasrat mahu membantu bapanya menunaikan haji.

Bapanya, Abdun Jamarun, 50, berkata anaknya itu ada bertanyakan mengenai hasratnya mahu mengerjakan haji dan bersedia membantu aspek kewangan.

“Dia (Zainal) ada bertanya perkembangan berhubung ‘naik’ (mengerjakan) haji dan saya beritahu duit belum cukup.

“Dia mahu tolong cukupkan wang itu tetapi saya tidak mahu kerana dia masih ada banyak yang perlu ditanggung,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdun berkata, dia rapat dengan anak sulungnya itu walaupun tinggal berasingan dan mereka sempat berbual sekejap ketika kali terakhir bertemu kira-kira jam 8 malam, Khamis lalu.

Beliau berkata, ketika kejadian berlaku dia berada di pasar dan perkara itu kemudian dimaklumkan anaknya lemas oleh seseorang melalui panggilan telefon.

“Saya dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 4 petang dan dia dihantar ke hospital sebaik tiba di jeti. Saya segera berlari dari jeti (Kampung Bangau-Bangau) menuju ke hospital untuk melihat keadaannya ketika itu.

“Saya dimaklumkan dia parah dan seperti sudah tiada harapan untuk hidup. Saya akur walaupun tidak percaya berlaku kejadian itu kerana dia bukan sekadar penyelam tetapi cikgu (jurulatih) yang mengajar menyelam,” katanya.

Abdun berkata, dia tidak tahu apa yang berlaku termasuk dakwaan anaknya itu terkena bom ikan dan menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk menyiasatnya.

“Sehingga kini, mayat anak saya masih di Hospital Tawau untuk bedah siasat dan saya bersedia sekiranya diminta mengambil jenazahnya untuk dikebumikan.

“Kalau tiada aral, kami akan menyempurnakan pengebumian jenazahnya di Tanah Perkuburan Kampung Bangau-Bangau iaitu kampung asalnya,” katanya.

Abdun berkata, anaknya itu menyertai bidang pelancongan sejak berusia belasan tahun kerana minat dan sejak 10 tahun lalu terbabit dalam bidang menyelam sehingga menjadi tenaga pengajar selam skuba.

Dalam kejadian itu, Zainal bersama dua lagi pelancong warga China dikenali sebagai Zhao Zheng dan Xu Yingjie ditemui maut ketika melakukan aktiviti menyelam.

Tamat

Berita Harian X