Ahad, 7 Julai 2019 | 9:57am
PENGARAH Maritim Sabah, Laksamana Muda Maritim, Kamaruszaman Abu Hassan. NSTP/Fardy Bungga.
PENGARAH Maritim Sabah, Laksamana Muda Maritim, Kamaruszaman Abu Hassan. NSTP/Fardy Bungga.

Maritim Sabah kerjasama dengan ESSCOM banteras aktiviti pengeboman ikan

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) akan bekerjasama dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi membanteras aktiviti pengeboman ikan.

Ia susulan kes tiga penyelam termasuk dua pelancong China maut di perairan Pulau Kalapuan, Semporna, Jumaat lalu, akibat kejadian pengeboman ikan.

Pengarah Maritim Sabah, Laksamana Muda Maritim, Kamaruszaman Abu Hassan, berkata kerjasama pihaknya dan ESSCOM akan membolehkan kedua-dua agensi menggerakkan aset dan tenaga kerja supaya operasi serta pemantauan keselamatan yang dilaksanakan berjalan lancar dan membuahkan hasil.

Beliau berkata walaupun kejadian maut itu masih dalam siasatan polis sama ada ia disebabkan aktiviti pengeboman ikan namun perkara itu dipandang serius oleh pihak Maritim.

“Disebabkan betapa seriusnya kesan aktiviti bom ikan ini, Maritim Sabah sudah melaksanakan Operasi Khas untuk membanterasnya bermula penghujung Mei lalu sehingga kini.

“Operasi ini dilakukan di kawasan panas sekitar perairan Kota Belud, Mantanani dan Pulau Gaya selepas menerima aduan dan maklumat risikan berhubung aktiviti itu sering dilakukan sehingga menyebabkan aktiviti menyelam tidak dapat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya lagi, Maritim Sabah juga melaksanakan mesyuarat bersama Jabatan Perikanan, Jabatan Laut, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Immigresen dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah bagi isu membincangkan isu sama.

“Antara isu yang dipandang serius dalam mesyuarat ini adalah aktiviti mengebom ikan yang didapati dilakukan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penempatan mereka juga sudah dikenal pasti.

“Dalam usaha bersepadu ini semua agensi berkenaan akan mengembeleng tenaga dalam memerangi aktiviti ini kerana insiden yang berlaku baru-baru ini memberi kesan dan menggemparkan komuniti maritim terutamanya di Zon Maritim Semporna.

“Selain itu, apa yang berlaku amat mencabar kredibiliti pasukan keselamatan apabila aktiviti mengebom ikan ini meragut nyawa termasuk pelancong China,” katanya.

Terdahulu, Kamaruszaman turut menasihatkan supaya syarikat dan pengendali aktiviti menyelam supaya mematuhi prosedur keselamatan ketika menyelam bagi mengelak kejadian itu berulang.

“Disebabkan kecuaian dan sikap tidak mengendahkan faktor keselamatan penyelam, ia boleh menyebabkan maut kepada penyelam rekreasi.

“Penyelam ini seharusnya diawasi dari permukaan air dan tanda sepatutnya diletakkan di mana aktiviti penyelaman sedang dilakukan di kawasan itu.

“Faktor keselamatan kawasan menyelam yang dikunjungi juga harus dipastikan selamat dan bebas daripada ancaman pengeboman ikan sebelum aktiviti menyelam dilakukan,” katanya.

Dalam kejadian itu, Zainal Abdul, 31, yang juga pemegang dokumen IMM13 bersama dua lagi pelancong dikenali sebagai Zhao Zheng dan Xu Yingjie ditemui maut ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan itu.

Berita Harian X