Sabtu, 6 Julai 2019 | 1:03pm
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohammad Bakhtiar Wan Chik. STR/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohammad Bakhtiar Wan Chik. STR/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Tragedi 2 penyelam warga China maut terkena bom ikan kes terpencil

IPOH: Insiden tiga penyelam termasuk dua pelancong warga China maut terkena bom ikan di perairan Semporna di Sabah semalam, adalah kes terpencil.

Justeru, orang ramai khsusnya pelancong tidak perlu khuatir dengan keselamatan kerana pihak berkuasa akan terus memastikan tahap keselamatan mereka menjadi keutamaan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata kes berkenaan adalah terpencil kerana tidak kerap dilaporkan.

“Agensi penguatkuasaan pastinya sudah mengambil langkah tertentu bagi meningkatkan keselamatan demi memastikan insiden sama tidak berulang. Saya kira kes ini telah pun berada dalam pengetahuan pihak berkuasa jadi biarlah penguatkuasaan dilakukan.

“Pelancong tidak perlu bimbang kerana bukan semua kawasan di sana mempunyai bom ikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Peluang Perniagaan Pelancongan Perak di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kemungkinan insiden itu akan memberi kesan terhadap industri pelancongan Sabah berikutan ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa sedang menjalankan aktiviti menyelam.

Muhammad Bakhtiar yakin agensi terbabit seperti Jabatan Laut Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani insiden itu.

Media sebelum ini melaporkan, tiga penyelam termasuk dua pelancong warga China maut dipercayai akibat terkena bom ikan ketika aktiviti menyelam di perairan daerah Semporna, petang semalam.

Siasatan awal polis mendapati, kejadian sekitar jam 4 hingga 5 petang sebelum pihak berkuasa dimaklumkan mengenainya.

Berita Harian X